Pengecualian tiga hari kuarantin tertakluk kepada syarat ketat

Dr Noor Hisham pada sidang media situasi terkini kes jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media situasi terkini kes jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengecualian kuarantin tiga hari terhadap Jemaah Menteri tertakluk kepada syarat ketat di bawah Seksyen 29 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.

Tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sekiranya gagal mematuhi perintah tersebut, menteri perlu menjalani kuarantin 10 hari.

"Berdasarkan Seksyen 29, sebelum bertolak ke luar negara menteri perlu mengemukakan permohonan termasuklah jadual lawatan untuk penilaian risiko," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini pada Selasa.

Menurutnya, syarat ketat tersebut antaranya lawatan luar negara hanya melibatkan urusan rasmi.

"Kita juga melihat kepada aktiviti ringkas dan aktiviti padat yang tidak melibatkan orang awam seperti di tempat awam," katanya.

Beliau berkata, perkara paling penting dalam lawatan tersebut adalah menteri menggunakan pesawat peribadi.

"Sekiranya lawatan ke luar negara menggunakan pesawat komersial, KKM tidak akan pertimbangkan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jika terdapat perjanjian laluan hijau timbal balik (reciprocal green lane) (RGL), ujian saringan tetap akan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya dengan negara jiran, ujian calitan tetap dilakukan tetapi tidak perlu jalani kuarantin.

"Tetapi sekarang ini Jemaah Menteri mesti dikuarantin minimum tiga hari atau diletakkan di bawah pengawasan sehingga dilepaskan tanpa membahayakan orang lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu kuarantin: Pejabat Perdana Menteri nafi dakwaan Puad Zarkashi

Menurutnya deligasi menteri yang menyertai lawatan luar negara diberi kelonggaran untuk menjalani tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

"Bagi perjalanan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta baru-baru, ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) telah dijalankan pada 3 Februari iaitu sebelum berlepas keesokan harinya.

"Apabila tiba di Jakarta, sekali lagi ujian dijalankan dan begitu juga sebaik tiba kembali di Malaysia," katanya.

Menurutnya, HSO telah dikeluarkan terhadap Muhyiddin dan telah dipakaikan gelang kuarantin.

"Ujian calitan telah dilakukan hari ini (Selasa) iaitu hari kelima dan akan lengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari. Jadi tiga campur tujuh bermakna 10 hari," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah Seksyen 29 tersebut terpakai kepada orang awam, Dr Noor Hisham berkata, ia boleh dipertimbangkan.

"Kita boleh pertimbangkan tetapi ada syarat.

"Tempoh kuarantin akan dilanjutkan kepada 10 hingga 14 hari sekiranya negara tersebut berisiko tinggi seperti Afrika Selatan dan sebagainya," katanya.

Pada Isnin, perwartaan kerajaan Persekutuan yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba disiarkan menerusi laman web Jabatan Peguam Negara memberi pengecualian kepada Jemaah Menteri untuk tidak menjalani kuarantin wajib 10 hari.

Perintah itu berkuat kuasa pada Selasa sehingga 1 Ogos depan.