Cubaan seludup RM3,000 ikan proses ke Thailand gagal

Ikan proses seberat 300kg iyang cuba dibawa keluar melalui laluan eksport kenderaan berat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit pada Isnin.
Ikan proses seberat 300kg iyang cuba dibawa keluar melalui laluan eksport kenderaan berat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit pada Isnin.
A
A
A

PENGKALAN HULU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak berjaya mematahkan cubaan membawa keluar 300 kilogram (kg) ikan proses ke Thailand menerusi satu pemeriksaan di Kompleks Imigresen Bukit Berapit di sini pada Isnin.

Pengarah Maqis Perak, Rozita Superman berkata, dalam pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu mendapati, hasil perikanan dianggarkan bernilai RM3,000 itu cuba dibawa keluar bersama barangan runcit lain melalui laluan eksport kenderaan berat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit.

"Maqis telah menahan pemandu lori dan ejen tersebut untuk mengambil keterangan kerana tidak mempunyai permit eksport yang sah.

"Hasil pemeriksaan mendapati ikan proses tersebut dibawa bersama barang-barang makanan runcit lain yang tidak memerlukan permit Maqis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama," katanya.

Dalam pemeriksaan berasingan, Rozita berkata, Maqis Perak mengesan cubaan membawa masuk 50 kotak berisi pelbagai jenis pokok kaktus di Pejabat Pos Besar Ipoh.

Beliau berkata, kaktus yang diimport dari Thailand itu dianggarkan bernilai RM4,000 itu tidak mempunyai sebarang dokumen permit import yang sah daripada Jabatan Maqis dan sijil fitosanitasi.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan Maqis adalah merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(2) Akta yang sama," katanya.

Katanya, Maqis akan mengambil tindakan tegas bagi mana-mana individu yang cuba membawa masuk sebarang barang pertanian bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.