X

Kindly register in order to view this article
!

'Menteri kuarantin 3 hari, rakyat kuarantin 10 hari'

Najib Tun Razak
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pelonggaran tempoh kuarantin hanya tiga hari kepada menteri pulang dari lawatan luar negara bakal mengundang risiko lebih bahaya kerana Covid-19 berjangkit tidak mengira pangkat seseorang.

Najib berpandangan, keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu juga boleh membawa negara kepada keadaan lebih buruk seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, secara purata virus Covid-19 mengambil tempoh lima hingga enam hari untuk proses inkubasi.

"Ada bahayanya jika mereka yang telah dijangkit, salah dilepaskan terlalu awal lalu menjangkiti ramai lagi orang setelah disangka mereka bebas daripada Covid-19.

"Ini terbukti semasa kuarantin kendiri tiga hari pada mulanya dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mereka yang pulang dari PRN Sabah," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengeluarkan perintah melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota Kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri daripada 10 kepada hanya tiga hari.

Perintah itu dinamakan 'Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021' diterbitkan Warta Persekutuan yang ditandatangani Adham berkuatkuasa pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 hari tempoh kuarantin menteri balik lawatan rasmi luar negara

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Najib berkata, wabak Covid-19 menjangkiti mangsanya tanpa mengira pangkat atau darjat dan peraturan dwistandard itu mengakibatkan rakyat tidak berpuas hati.

"Antara ketidakpuasan terbesar ramai ialah dwistandard dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi ini pula dibuat pada ketika rakyat tengah marah.

"Tak patut. Aduh... menteri kuarantin tiga hari, rakyat kuarantin 10 hari. Covid-19 tak takut pangkat," kata Najib.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!