Pantau penjualan gajet lebih menyeluruh

Permintaan yang tinggi menyebabkan bekalan komputer riba baharu dan terpakai habis di pasaran. - Gambar hiasan
Permintaan yang tinggi menyebabkan bekalan komputer riba baharu dan terpakai habis di pasaran. - Gambar hiasan
A
A
A

JIKA sebelum ini kita lihat bantuan kepada golongan memerlukan adalah berupa makanan, barangan keperluan dan sedikit wang bagi meringankan beban ketika waktu sulit.

Tapi kini, kebanyakan NGO mula menghulurkan bantuan gajet bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada pembelajaran yang ketika ini terpaksa dijalankan secara online ketika pandemik Covid-19.

Gajet sudah menjadi alat yang cukup penting bukan sahaja dalam aspek komunikasi, tetapi penghubung kepada masa depan murid-murid dalam pendidikan.

Disebabkan kepentingan tersebut, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga peranti itu sehingga 70 peratus seperti yang dilaporkan akhbar ini pada Isnin.

Sesungguhnya, tindakan tersebut adalah amat tidak wajar sekali kerana ia bukan sahaja membebankan ibu bapa yang kurang berkemampuan, malah menindas golongan memerlukan kepada akses pendidikan.

Walau apa pun alasan diberikan peniaga, mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikkan harga telefon, tablet, komputer dan pencetak di kala ramai yang memerlukannya.

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sewajarnya melipat gandakan operasi pemantauan bagi memastikan peniaga barangan elektronik tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan di atas permintaan mendadak peranti itu.

Penguatkuasaan terhadap kedai-kedai peranti tersebut juga perlu tegas seperti mana KPDNHEP bertindak terhadap peniaga barangan kawalan lain di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai juga perlu menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP apabila mengetahui mana-mana kedai yang menaikkan harga peranti dengan drastik.

Dengan aduan tersebut, KPDNHEP dapat bertindak dengan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) seperti yang telah dikeluarkan terhadap 331 premis seluruh negara sejak 25 Januari lalu.

Bersama-sama kita menggerakkan usaha supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas keperluan untuk pendidikan anak-anak kita.