Pendakwaan akan buktikan, wang masuk tapi Rosmah 'tidak bekerja'

 Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.- Foto Bernama
Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa, Datin Seri Rosmah Mansor melakukan kesalahan iaitu sejumlah besar wang telah didepositkan ke akaun semasa milik isteri pemimpin UMNO ini di Affin Bank Berhad, sebagaimana yang dipertuduhkan di Mahkamah Tinggi di sini sedangkan berstatus 'tidak bekerja'.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini, didakwa dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika membuat ucapan pembukaan dalam prosiding kes di hadapan Hakim, K Muniandy, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, Rosmah, 72, tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, namun masih boleh melunaskan bil telefon dan kad kredit melalui cek yang ditandatanganinya.

“Jumlah yang didepositkan dalam akaun banknya, tidak seimbang dengan kemampuan tertuduh.

“Dia menggunakan khidmat seorang lelaki yang menjadi pengurus di kediamannya, di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya yang mana wang tersebut menjadi subjek bagi pertuduhan pertama hingga ke-12 dalam kes ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, wang berkenaan tidak pernah diisytiharkan kepada LHDN sekali gus tiada cukai pendapatan dibayar membabitkan jumlah tersebut.

Menurutnya, pasukan pendakwaan juga akan membuktikan tertuduh membuat kenyataan palsu berhubung wang itu, ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, tertuduh didakwa melanggar Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967, yang merupakan kesalahan berjadual di bawah AMLATFPUAA, iaitu termasuk kes yang serius dan menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Rosmah yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung berwarna kuning, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Isteri bekas Perdana Menteri ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Prosiding kemudiannya diteruskan dengan pasukan pendakwaan memanggil saksi pendakwaan pertama, Penolong Pengurus Perkhidmatan ATM dan Sokongan, Affin Bank Berhad, Nor Ashikin Abdullah untuk memberi keterangan.