PTPTN tawar hadiah RM88,888 menerusi Gong Xi Ang Pow SSPN 2021

Wan Saiful menyampaikan ucapan, sekali gus merasmikan kempen Gong Xi Ang Pow SSPN dalam sesi Facebook Live pada Isnin.
Wan Saiful menyampaikan ucapan, sekali gus merasmikan kempen Gong Xi Ang Pow SSPN dalam sesi Facebook Live pada Isnin.
A
A
A

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah angpau lumayan berupa wang tunai berjumlah lebih RM88,888 untuk 88 pemenang menerusi kempen Gong Xi Ang Pow Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2021.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kempen bertemakan 'Gong Xi Save & Safe' itu dianjurkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Jumaat ini.

Menurutnya, tema itu dipilih sebagai simbol keprihatinan PTPTN agar rakyat Malaysia sentiasa mengutamakan simpanan demi masa depan di samping mengamalkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga dalam menghadapi cabaran Covid-19.

Katanya, kempen itu terbuka kepada semua pendeposit SSPN iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus.

"Hadiah utama yang ditawarkan merupakan wang tunai berjumlah RM8,888. Tempoh promosi kempen ini ialah selama sebulan bermula 8 Februari 2021 hingga 8 Mac 2021.

"Cara menyertai kempen ini sangat mudah, dengan simpanan bersih serendah RM100 dalam tempoh kempen, pendeposit akan layak mendapat satu cabutan," katanya ketika merasmikan pelancaran kempen berkenaan secara langsung di Facebook PTPTN Official pada Isnin.

Pelancaran Kempen Gong Xi Ang Pow SSPN yang bermula 8 Februari 2021 sehingga 8 Mac 2021 disiarkan menerusi Facebook Live pada Isnin.
Pelancaran Kempen Gong Xi Ang Pow SSPN yang bermula 8 Februari 2021 sehingga 8 Mac 2021 disiarkan menerusi Facebook Live pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pendeposit SSPN yang menyertai kempen itu bukan sahaja berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan, malah akan menikmati pelbagai keistimewaan SSPNseperti pemberian dividen kompetitif, perlindungan takaful dan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid meminta ibu bapa yang masih belum membuka akaun SSPN supaya merebut peluang berbuat demikian.

"SSPN boleh dibuka untuk anak-anak seawal usia sehari. Bagi yang telah menyimpan, teruskan menyimpan. Anda adalah 'superhero' kepada anak-anak.

"Sedikit pelaburan anda, tapi sangat besar maknanya pada mereka. Buka akaun atau tambah deposit dalam tempoh promosi dan anda secara automatik layak menyertai cabutan ini," katanya.

Beliau berkata, PTPTN berharap kempen itu akan mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus dapat memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina dalam suasana perpaduan dan masyarakat majmuk di negara ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Gong Xi Ang Pow SSPN 2021, orang ramai boleh melayari portal www.lovesspn.com.