Altel Cloud perkukuh ketahanan digital Malaysia

ALTEL Communications Sdn Bhd (Altel) melancarkan Altel Cloud sebagai platform awan tempatan yang direka untuk memperkukuh ketahanan digital negara dengan menekankan pemastautin data, keselamatan serta prestasi gred perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group, Mohamad Helmi Harith berkata, Altel Cloud merupakan perkhidmatan awan yang bertapak sepenuhnya di Malaysia.
Menurutnya, semua data disimpan dalam negara dilengkapi jaminan keselamatan tinggi termasuk perkhidmatan keselamatan siber bagi memastikan data serta operasi pelanggan dilindungi.
“Inisiatif itu membolehkan pemain industri memastikan operasi mereka lebih terkawal, selamat dan fleksibel tanpa perlu membina pusat data sendiri atau melabur kos modal yang besar.
“Altel Cloud ialah infrastruktur teknologi yang membolehkan syarikat menyimpan, memproses data, mengurus aplikasi dan operasi mereka melalui langganan perkhidmatan awan tanpa memerlukan pembelian mesin, rangkaian, perisian serta sistem storan secara berasingan,” katanya pada majlis pelancaran Altel Cloud di Astana GlassHouse, Bamboo Hills di sini pada Khamis.

Mohamad Helmi berkata, Altel Cloud secara uniknya dibangunkan berdasarkan pengalaman operasi industri sebenar di bawah Tradewinds Group Malaysia merangkumi sektor automotif, pelabuhan, utiliti, perladangan, komoditi, pos dan logistik, kejuruteraan, perbankan, hartanah serta teknologi.
“Altel Cloud tidak sekadar menawarkan infrastruktur malah merangkumi perkhidmatan hujung ke hujung termasuk reka bentuk, integrasi, migrasi serta pengurusan proaktif.
“Portfolio Altel Cloud menyokong kes penggunaan perusahaan melalui konfigurasi Awan Peribadi dan Awan Pinggir yang menjamin kependaman ultra rendah serta pemprosesan setempat berkelajuan tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, Altel Cloud disokong oleh pusat data Tahap III di Cyberjaya dan Kuala Lumpur serta ketersambungan terus melalui Malaysian Internet Exchange (MyIX).
“Seni bina itu membolehkan prestasi sepantas milisaat bagi transaksi frekuensi tinggi, analitik masa nyata dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) merentas fungsi perniagaan.
“Altel Cloud turut disepadukan dengan ekosistem Altel Group termasuk keselamatan siber berasaskan AI melalui Pusat Operasi Keselamatan (SOC) 24 jam, ketersambungan satelit untuk kawasan luar bandar serta perisian kecerdasan digital industri.
"Gabungan keupayaan ini menjadikannya sebagai teras infrastruktur digital negara,” katanya.
Menurutnya, platform itu sejajar dengan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang mengutamakan penggunaan awan tempatan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan data.
“Data pelanggan disimpan sepenuhnya dalam sempadan Malaysia sekali gus mengurangkan risiko peralihan bidang kuasa rentas sempadan. Ini amat penting bagi sektor awam dan perusahaan yang tertakluk kepada keperluan pematuhan domestik.
“Kami menyasarkan untuk memastikan perkhidmatan ini terus berkembang seiring dengan aspirasi Kementerian Digital dan agenda negara khususnya dalam menyokong pertumbuhan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan AI,” katanya.
Kesedaran kepentingan keselamatan data
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong yang turut merasmikan majlis tersebut berkata, pelancaran Altel Cloud dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan industri mengenai kepentingan keselamatan data serta peranan pemain teknologi tempatan dalam menyokong agenda digital negara.

“Landskap teknologi semasa yang semakin kompleks turut menyaksikan peningkatan ancaman siber termasuk penipuan digital sekali gus menuntut penyelesaian teknologi yang lebih selamat dan mampan.
“Apa yang kita mahukan ialah platform seperti Altel Cloud dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan keselamatan data dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
"Rakyat merupakan aset utama negara dan sekiranya kita tersasar daripada hala tuju kementerian, ia boleh membuka ruang kepada penggunaan teknologi tidak selamat,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai negara berteraskan AI menjelang 2030, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi global yang kini menjadi industri utama dunia.
“Justeru, program seperti pelancaran Altel Cloud yang melibatkan lebih 100 peserta memberi peluang kepada pemain industri memahami dengan lebih mendalam aspek keselamatan siber serta potensi teknologi awan dalam memacu pertumbuhan digital negara.
“Saya berharap Altel Cloud dapat terus memberikan manfaat dan impak positif kepada semua pemain industri di Malaysia,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Altel Communications Sdn Bhd melancarkan Altel Cloud, platform awan tempatan untuk ketahanan digital negara
- Altel Cloud menyimpan semua data dalam Malaysia dengan jaminan keselamatan tinggi termasuk perkhidmatan keselamatan siber
- Platform ini membolehkan syarikat menyimpan dan memproses data tanpa perlu membina pusat data sendiri
- Altel Cloud menawarkan infrastruktur dan perkhidmatan hujung ke hujung termasuk reka bentuk, integrasi dan pengurusan proaktif
- Dikembangkan berdasarkan pengalaman industri Tradewinds Group Malaysia, Altel Cloud menyokong kes penggunaan perusahaan melalui konfigurasi Awan Peribadi dan Awan Pinggir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
