Cubaan rempuh sekatan bawa padah

rempit
A
A

SEREMBAN - Sidang media operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sempena Tahun Baru Cina 2019 yang berlangsung di Plaza Tol Senawang malam tadi, terhenti seketika apabila dikejutkan dengan aksi seorang penunggang motosikal merempuh sekatan jalan raya sebelum tercampak.

Kejadian jam 10.10 malam itu menyebabkan lelaki berusia 34 tahun itu, cedera pada muka.

Penunggang terbabit dikatakan cuba mengelak ditahan anggota penguat kuasa kerana dipercayai membawa air ketum.

Itu antara aksi yang dapat dilihat dalam operasi empat jam bermula 8 malam dijalankan JPJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zamakhshari Hanipah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan melakukan lima kesalahan mengikut akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesalahannya ialah cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen motosikal, motosikal tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, memakai topi keledar yang tidak ikut spesifikasi ditetapkan dan merempuh sekatan JPJ,"katanya.

Bagaimanapun ujian saringan air kencing yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Negeri Sembilan terhadapnya bagaimanapun negatif.

Zamakhshari berkata, sebanyak 1,419 kenderaan dikenakan tindakan dengan 2,428 notis dikeluarkan hasil pemeriksaan pada 6,281 dalam Op Tahun Baharu Cina yang dilakukan bermula 29 Januari sehingga malam tadi.

Katanya, sebanyak 2,274 motosikal dengan 928 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi khas motosikal bermula 2 Februari sehingga malam tadi.

"Antara kesalahan utama dilakukan ialah tiada lesen memandu. Kita memandang serius perkara ini kerana ia bermakna mereka tiada latihan betul mengendalikan kenderaan yang boleh mengundang kecelakaan," katanya.