X

Kindly register in order to view this article
!

Ternak latok dalam tangki simen

Fatimah dan Abdul Samad menunjukkan latok yang sudah matang dan sedia untuk dijual di restorannya.
A
A

PORT DICKSON - Eksperimen selama enam bulan oleh sepasang suami isteri untuk menternak latok menggunakan tangki air simen di Lukut di sini membuahkan hasil apabila mereka kini menjadi pengusaha rumpai laut itu yang pertama di Negeri Sembilan.

Semuanya bermula selepas Fatimah Salleh, 38 dan Abdul Samad Idris, 44, sukar mendapatkan bekalan rumpai laut yang popular di Sabah itu untuk restorannya di Kuala Lumpur.

"Restoran saya menawarkan masakan dari Sabah dan salah satu menu yang kita ada ialah latok.

"Biasanya kami akan mendapatkan bekalan dari Sabah tapi melibatkan kos penghantaran yang tinggi dan kadang kala bekalan dihantar rosak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, melihat sambutan menggalakkan, Fatimah yang berasal dari Semporna, Sabah itu mula terfikir untuk cuba menternaknya sendiri.

Fatimah dan pekerjanya menilai kualiti latok yang diternaknya.
Fatimah dan pekerjanya menilai kualiti latok yang diternaknya.

Dia bersama suami kemudiannya pergi ke beberapa negara yang ada mengusahakan latok seperti Thailand, Jepun, Indonesia, Filipina dan Vietnam untuk mempelajari ilmu mengenai cara menternak rumpai laut itu.

"Kami cuba usahakan buat ternakan Lukut menggunakan benih dari Thailand dan mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk pastikan ia betul-betul menjadi.

"Nampak macam mudah tapi latok ini sangat sensitif pada suhu, air dan cuaca. Semuanya perlu seimbang dan kami juga gunakan air laut yang diproses," katanya.

Kata Fatimah, beza antara latok ternak dan latok liar, ia kurang berbau hanyir dan lebih tahan lama selain 100 peratus organik dan tumbesarannya berlaku secara semula jadi.

"Tempoh ternakan latok ini antara 30 hingga 45 hari. Biasanya pada hari pertama sehingga hari ke 15, kita sudah boleh nilai benih itu sihat atau tidak.

"Selain Sabah, latok hanya terdapat di Langkawi, Johor, Melaka dan Port Dickson tapi tidak banyak seperti di Sabah," katanya.

Sementara itu, katanya, latok yang mempunyai pelbagai khasiat termasuk baik untuk kesiahatan mempunyai pasaran yang sangat luas.

Namun, Fatimah mengakui ternakan rumpai laut itu masih baharu di Semenanjung tetapi mula mendapat sambutan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!