Nasi bajet hotel empat bintang 'laku keras'

Phang Seng Kee menunjukkan promosi nasi bajet RM2 yanh dijual Hotel Hatten di Banda Hilir.
Phang Seng Kee menunjukkan promosi nasi bajet RM2 yanh dijual Hotel Hatten di Banda Hilir.
A
A
A

MELAKA - Lebih 100 set nasi bajet serendah RM2 terjual dalam tempoh sejam sejak gerai makanan yang dikendalikan pengurusan dan chef dari Hotel Hatten, Banda Hilir di sini, dibuka pada jam 12 tengah hari.

Tinjauan Sinar Harian, pada Ahad, mendapati orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli nasi bajet yang menawarkan satu pilihan sayur dan protein, sama ada ayam, ikan atau daging.

Pembantu farmasi, Nurul Suhada Nor, 36, menyambut baik inisiatif hotel terbabit yang menyediakan menu pada harga berpatutan.

Menurutnya, dia yang pertama kali membeli makanan itu selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan teruja kerana disediakan oleh chef hotel bertaraf empat bintang selain lokasi jualan berhampiran dengan tempat kerja.

"Dalam tempoh PKP ni memang susah mencari tempat makan manakala makanan kos untuk makanan pandu lalu juga tinggi. Jadi saya tidak melepaskan peluang memberi makanan tengah hari di sini.

"Terkejut juga apabila nasi berlauk ikan dan sayur serta tambahan sambal tempe yang saya ambil hanya RM3 sahaja," katanya yang ditemui di lokasi itu pada Ahad.

Sementara itu, pelanggan, Rosnita Abu Talib, 55, turut menyambut baik inisiatif hotel itu kerana dia dapat berjimat lebih banyak untuk keluarga yang besar termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU).

"Ini kali kedua saya membeli dan memang berpuas hati walaupun RM2 sebungkus tapi sedap dan tidak mengecewakan. Mereka yang mempunyai keluarga besar seperti saya memang sungguh menjimatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi bahagian Makanan dan Minuman Hotel Hatten Andy Phang Seng Kee berkata, sejak Jumaat pihaknya menjual menu bajet sebagai usaha untuk menyelamatkan pekerja dan industri perhotelan dari terus lumpuh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menurutnya, dalam sehari dianggarkan lebih 300 bungkus makanan terjual bermula dari jam 12 tengah hari hingga 8 malam.

"Tengah hari ini kita menawarkan juadah ayam dan ikan dan sekiranya lauk habis chef akan menyediakan menu lain untuk memberi peluang kepada pelanggan menikmati hidangan berbeza setiap hari.

"Selagi ada permintaan selagi itu kita akan teruskan walaupun harga murah, sekurang-kurangnya dengan cara ini dapat menambahkan pendapatan hotel dan membantu golongan B40," katanya.