32 juta rakyat dicadangkan wajib ambil vaksin

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan Februari hingga April akan babitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan kesihatan.
Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan Februari hingga April akan babitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan kesihatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) menyarankan kerajaan supaya mewajibkan 32 juta rakyat Malaysia mengambil vaksin Covid-19.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, langkah itu merupakan pelan jangka masa panjang buat kerajaan dalam usaha menangani sepenuhnya virus pembunuh berkenaan.

“Vaksin wajib diberikan kepada 32 juta rakyat kita. Langkah ini merupakan pelan jangka panjang dan kerajaan boleh bertindak dengan segera,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah Amhari berkata, kerajaan juga perlu memikirkan bagaimana cara untuk memastikan pekerja warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerima suntikan vaksin sama seperti rakyat tempatan.

Sama ada kos itu perlu ditanggung majikan atau sebagainya, Amhari menegaskan, kerajaan perlu memberi penjelasan cara pelaksanaannya.

“Jika rakyat Malaysia wajib untuk mengambil vaksin, kerajaan juga perlu memikirkan cara bagaimana mewajibkan pengambilan vaksin terhadap pekerja asing dan PATI. Semua itu melibatkan kos yang tinggi.

“Itu semua perlu difikirkan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan usaha mengekang wabak berbahaya ini berjaya ditangani bersama,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, kerajaan juga perlu memikirkan mekanisme yang lebih baik sebagai usaha memastikan rakyat tidak takut dan bersedia mengambil vaksin secara sukarela.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaaan buat masa ini sedang berusaha untuk memastikan capaian 80 peratus penduduk mengambil suntikan.

“Pengambilan vaksin itu hanya akan diberikan pada pihak tertentu sahaja dan mengikut kategori yang lebih penting,” katanya.