X

Kindly register in order to view this article
!

Politik kudeta, demokrasi Myanmar

A
A

SETELAH hampir sedekad di bawah pemerintahan demokrasi, Myanmar nampaknya kembali semula ke dalam cengkaman pihak tentera (Junta).

Sejak Isnin lalu, pihak tentera telah mengambil alih kuasa pemerintahan secara kudeta dan meletakkan Myanmar dalam keadaan darurat.

Dengan jangkaan bahawa kudeta dan darurat itu akan berlanjutan, keadaan politik semasa Myanmar dijangka terus bergolak dengan tekanan berpanjangan datang secara domestik, serantau mahupun antarabangsa buat kerajaan tentera.

Walaupun mengejutkan, disebabkan Myanmar masih menjalani proses transisi pemerintahan tentera ke demokrasi, kudeta kali ini barangkali sudah boleh dijangka.

Agak sukar sebenarnya untuk Myanmar melakukan transisi itu disebabkan cengkaman kuat pihak tentera dalam sistem politiknya.

Pendemokrasian di Myanmar 10 tahun lalu tidak mungkin terjadi tanpa dokongan pihak tentera itu sendiri, sesuatu yang amat ironik namun biasa berlaku sebelumnya.

Tentera Myanmar masih melihat diri mereka sebagai punca kuasa negara.

Di sebalik demokrasi yang goyah, merekalah yang menulis perlembagaan semasa dengan memberi kuasa dan kekuatan yang besar kepada pihak tentera apabila perlembagaan itu mempunyai klausa yang pada dasarnya membenarkan rampasan kuasa berlaku mengikut keperluan.

Apa pun alasan digunakan oleh tentera untuk melakukan kudeta, jelas ia berlaku disebabkan ketakutan terhadap kuasa tentera yang dilihat semakin terhakis sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Myanmar 2015.

Tambahan pula, selepas Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi menang PRU November tahun lalu, idea terhadap rekonsiliasi nasional yang dijaja Suu Kyi sepanjang berkempen ternyata menggentarkan pihak tentera.

Selepas tentera terpaksa mengalah dengan perubahan Perlembagaan 2008 sebagai roadmap kepada pendemokrasian Myanmar (disebabkan tekanan masyarakat antarabangsa selepas terdesak dibadai Taufan Nargis dan Revolusi Safron yang membawa kepada protes anti-kerajaan serta pelanggaran hak asasi manusia oleh pihak tentera terhadap demonstran), usaha mengintegrasikan etnik yang pelbagai di Myanmar akan terus mengikis kuasa dan legitimasi pihak tentera dalam politik negara itu.

Perlembagaan

Walaupun pihak tentera tahu bahawa projek rekonsiliasi nasional Suu Kyi itu sukar dilakukan tanpa adanya perubahan perlembagaan sebagaimana yang dituntut 10 Organisasi Etnik Bersenjata (EAO) yang menandatangani Perjanjian Gencatan Senjata (NCA) 2015 dan 2018, rekonsiliasi itu mampu menamatkan perang saudara di Myanmar, sekali gus membuka jalan untuk mengukuhkan demokrasi.

Sebab itu, apabila isu Rohingya dalam kes wilayah Rakhine muncul tahun 2017, ramai melihat ia adalah usaha pihak tentera untuk mengganggu usaha Suu Kyi (yang ketika itu menjangkakan beliau akan menentang tindakan ketenteraan disebabkan reputasi Suu Kyi sebagai ikon demokrasi dan hak asasi manusia antarabangsa), selain mahu memperlihatkan kuasa dan kepentingan tentera yang masih kukuh dalam politik Myanmar.

Apa perubahan perlembagaan yang ditakutkan sangat oleh pihak tentera itu? Antaranya, pengurangan 25 peratus kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada pihak tentera (yang diperoleh tanpa melalui pilihan raya) kepada 15 peratus dalam tempoh 15 tahun dan pemansuhan peranan panglima tentera sebagai panglima tertinggi angkatan bersenjata – yang dilihat pihak tentera sebagai ancaman buat kekebalan institusi itu yang bakal rentan terhadap sebarang tuntutan perundangan atas segala tindakan ketenteraan yang melanggar undang-undang.

Di sebalik melihat kudeta di Myanmar itu sebagai masalah dalaman negara, reaksi serantau terutama negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang paling menarik juga untuk diperhatikan.

Setakat ini, reaksi semua ahli-ahlinya nampak diplomatik dan berhati-hati.

Tindakan itu barangkali disebabkan oleh dasar tidak campur tangan yang didokong ASEAN sendiri.

Namun, ingatan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar pada Sidang Kemuncak ASEAN di Laos 2004 barangkali masih relevan dengan konteks Myanmar masa kini.

Beliau ketika itu mempersoalkan komitmen pemerintah Junta Myanmar terhadap pendemokrasiannya yang mengecewakan dan dilihat skeptikal oleh masyarakat antarabangsa.

Beliau juga menggesa agar Myanmar segera menyelesaikannya kerana permasalahan itu bukan sahaja akan menjejaskan Myanmar tetapi kredibiliti dan integriti ASEAN secara keseluruhan.

Dengan dua pendekatan yang berbeza telah diambil ASEAN dalam kes Myanmar (pendekatan konstruktif ‘Cara ASEAN’ ) tahun 1991 dan pendekatan fleksible tahun 1998) yang gagal menyelesaikan permasalah politik Myanmar, apakah penguatkuasaan Piagam ASEAN 2008 boleh dipakai dalam permasalahan kali ini?

Ataupun ketakutan ASEAN terhadap tindakan luar jangka Myanmar yang mungkin membahayakan keselamatan serantau, lantas sanggup untuk mengesampingkan Piagam ASEAN yang sepatutnya memberikan ASEAN taring untuk menggertak Myanmar.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!