X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

61 pekerja kilang di Senawang positif Covid-19

Datuk Seri Dr Adham (tengah) semasa melawat kilang di Senawang pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seramai 61 pekerja sebuah kilang di kawasan Perindustrian Tuanku Jafaar Senawang, dekat sini disahkan positif Covid-19 selepas saringan terhadap seorang pekerja bergejala dan kontak rapat rakan sekerja dilakukan pada 3 Februari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu 41 adalah pekerja tempatan, manakala 20 adalah pekerja warga asing.

"Sehingga semalam (4 Februari) seramai 61 orang telah dikesan positif daripada 416 individu yang telah dibuat persampelan dan kadar positiviti adalah sebanyak 15 peratus.

"Kluster ini bermula dengan saringan bergejala seorang pekerja kilang, dan saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sekerja yang dijalankan, bagaimanapun mereka yang berisiko telah pun diasingkan dan dikuarantin di tempat yang bersesuaian mengikut nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya selepas melawat kilang tersebut pada Jumaat.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati, kilang tersebut tidak mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti tiada saringan suhu dan gejala ke atas pekerja di asrama kilang, kurang penjarakan fizikal antara pekerja di tempat kerja dan di asrama pekerja.

Kata Dr Adham, kilang dan asrama penginapan tersebut telah diarahkan tutup bermula 4 hingga 9 Febuari bagi tujuan pembersihan dan sanitasi.

"Langkah penutupan kilang dan tempat penginapan bertujuan untuk menjalankan saringan kesihatan ke atas pekerja-pekerja, mengasing (isolasi) pekerja yang positif dan kuarantin kontak rapat kepada kes positif," katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham memberitahu bagi gelombang ketiga ini, sebanyak 446 kluster tempat kerja direkodkan, dan daripada jumlah itu 157 adalah kluster kilang bagi sektor pembuatan.

Katanya, kluster bagi kategori pembuatan ini merupakan antara yang tertinggi daripada enam kategori lain.

"Setakat 4 Febuari, kita telah membuat saringan terhadap 147,916 pekerja kilang bagi sektor pembuatan, daripada jumlah itu seramai 38,849 adalah positif.

"Setiap hari pasti ada kes kluster kilang, dan setakat Khamis kita mencatatkan empat kluster tempat kerja baharu iaitu Kluster Jalan Industri Rawang, Kluster Jalan Jasmin Bukit Beruntong, Kluster Parit Penyengat Muar, dan Kluster Permata 1 di Nilai 3," katanya.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pematuhan SOP dan akan bertindak lebih tegas dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini termasuk di tempat kerja.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!