Pekerja kilang bunuh biras dipenjara 38 tahun, 17 sebatan

Bekas pekerja kilang dipenjara 38 tahun dan 17 sebatan atas pertuduhan membunuh birasnya serta mencederakan seorang lelaki lain pada 2016. - Gambar hiasan
Bekas pekerja kilang dipenjara 38 tahun dan 17 sebatan atas pertuduhan membunuh birasnya serta mencederakan seorang lelaki lain pada 2016. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Bekas pekerja kilang dipenjara 38 tahun dan 17 sebatan atas pertuduhan membunuh birasnya serta mencederakan seorang lelaki lain pada 2016.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Taufik Hidayah Abdullah, 34, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan didapati bersalah.

Dalam penghakimannya itu, Azman menyatakan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kedua-dua pertuduhan dan keterangan saksi kedua menjelaskan dia telah ditetak oleh tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah meninggal dunia melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Salman Raja Abdullah yang berusia 37 tahun ketika kejadian berlaku.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam, 7 Ogos 2016 di Jalan Besar Papan Tanda, Taman Angsamas, Mambau, di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan masa yang sama tertuduh telah menetak seorang lagi lelaki berusia 46 tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang berhampiran dengan pintu masuk Jalan Indah Water, Mambau.

Justeru, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan, manakala pertuduhan kedua penjara lapan tahun yang berjalan secara berasingan serta lima sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly manakala tertuduh diwakili Peguam V Gobi.

Sebelum itu, Gobi dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang rendah dan sebatan minima dengan mempertimbangkan tertuduh sudah insaf serta ingin menjaga anak yang kini berusia tujuh tahun dalam jagaan bekas isteri.

Bagaimana pun, Husni Fairos dalam hujahannya memohon mahkamah mengambil kira mangsa yang telah mengalami kecederaan patah pergelangan tangan dan muka sehingga menjadikan mangsa sebagai orang kurang upaya (OKU).

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga pekerja kilang bersama dua rakan menetak birasnya sehingga mati dan seorang lagi lelaki sehingga mengalami kecederaan parah dengan menggunakan parang.

Ia berpunca daripada perselisihan faham selepas perbincangan mengenai isu penjagaan anak hasil perkahwinan antara tertuduh dengan adik ipar kepada si mati.

Selepas kejadian, tertuduh melarikan diri ke Kedah sebelum ditangkap pada 18 September 2017.