Kerajaan Selangor cuba ambil alih PPR Lembah Subang sejak 2019

Rodziah (tiga dari kiri) sewaktu meninjau keadaan longgokan sampah di PPR Lembah Subang 1, pada Rabu.
Rodziah (tiga dari kiri) sewaktu meninjau keadaan longgokan sampah di PPR Lembah Subang 1, pada Rabu.
A
A
A

SUBANG - Kerajaan Selangor telah berusaha untuk mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 sejak 2019 namun tiada sebarang maklum balas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, sejak 2001 sehingga 2017, PPR berkenaan berada di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun selepas itu ia telah diambil alih oleh KPKT sekitar tahun 2018.

Bagaimanapun, Rodziah berkata, kerajaan negeri telah membuat permohonan untuk mengambil alih semula PPR berkenaan selepas pengurusannya dilihat tidak kompeten dalam menyelesaikan permasalahan penduduk di sini.

"Kami bersetuju untuk mengambil alih semula PPR ini namun bersyarat antaranya kita mahu tanah ini diserahkan kepada kerajaan negeri.

"Selain itu, antara syarat lain adalah kita juga mahu pembaikan dan bil-bil tertunggak di PPR berkenaan diselesaikan terlebih dahulu sebelum kami mengambil alih.

"Malah, kerajaan negeri mahu agar kontrak pengurusan lama di PPR ini ditamatkan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau keadaan di PPR berkenaan bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan pengurusan KDEB Waste Management (KDEBWM) pada Rabu.

Antara longgokan sampah di PPR berkenaan.
Antara longgokan sampah di PPR berkenaan.

Menerusi tinjauan itu, kerajaan negeri turut menggerakkan 20 lori milik KDEBWM bagi membantu operasi pembuangan sampah di PPR itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kali terakhir beliau membangkitkan mengenai perkara itu adalah pada Disember tahun lalu sewaktu mesyuarat exco bersama menteri KPKT, namun pihak terlibat memaklumkan isu itu akan dibincangkan nanti.

"Kita terbuka untuk ambil alih dan minta menteri agar cepat membuat keputusan berhubung syarat berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif bakul makanan buat penghuni di PPR berkenaan susulan daripada penularan Covid-19.

Tambahnya, bantuan menerusi Program Bingkisan Mesra Negeri Selangor itu masih di peringkat perbincangan bagi memastikan kaedah penyampaian terbaik buat penghuni di 3,004 unit kediaman terbabit.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai kekecewaan penduduk terhadap pengurusan PPR berkenaan yang didakwa tidak mengendahkan aduan persekitaran kawasan itu yang tidak selesa dengan longgokan sampah dan kerosakan kemudahan di bangunan terbabit.