Jangan ketepikan hak pekerja asing

Majikan seharusnya memberi yang terbaik kepada pekerja mereka. - Foto 123RF
Majikan seharusnya memberi yang terbaik kepada pekerja mereka. - Foto 123RF
A
A
A

MASALAH penginapan pekerja warga asing sering menjadi bualan, namun masih tiada tindakan drastik dilakukan majikan bagi memastikan mereka mematuhi Akta 446 atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Sedar atau tidak, kerajaan telah mewajibkan majikan untuk membuat Perakuan Penginapan bagi mematuhi Akta 446. Setakat 31 Oktober 2020, hanya 143,587 atau 8.89 peratus permohonan daripada 1.6 juta pekerja asing di Malaysia.

Di manakah yang selebihnya?

Awal Januari lalu Sinar Harian melaporkan, seramai 150 pekerja asing di Melaka ditempatkan dalam sebuah rumah panjang dan empat kontena yang telah diubah suai menjadi penginapan sehingga menyebabkan mereka tidur dalam keadaan sesak serta berhimpit.

Di Perak pada 15 Januari lalu, hampir 1,000 pekerja asing ditempatkan dalam keadaan yang sempit.

Semua unit penginapan menempatkan sehingga 20 orang dan menjadikan ruang tamu yang sepatutnya sebagai tempat meluangkan masa serta aktiviti bersama terpaksa dijadikan tempat tidur.

Malah, tiada kemudahan katil dan tilam disediakan serta terpaksa beralaskan papan.

Di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu pula, dua premis disiasat kerana didapati menyediakan penginapan kepada pekerja asing yang digajikan tanpa sebarang perakuan.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyedihkan apabila mereka hanya ditempatkan dalam bangunan lama dua tingkat yang sempit, selain tiada peredaran udara yang sempurna kepada mereka.

Tambah lagi dengan tiada laluan kecemasan di bangunan tersebut dan mengakibatkan pekerja asing sukar membuat tindakan yang pantas sekiranya berlaku sebarang bencana.

Mereka juga hanya tidur beralaskan papan nipis kerana tilam yang disediakan dipenuhi pijat.

Dapatkah pembaca membayangkan betapa sedih dan menggelikan tempat yang sepatutnya selesa untuk mereka berehat daripada penat bekerja, namun hanya mendapat layanan sebegitu rupa.

Jadi, apakah fungsinya sekiranya pekerja asing dikenakan caj untuk tempat penginapan? Di mana letaknya sifat keperimanusiaan majikan? Adakah pekerja asing tidak layak mendapat layanan yang baik dan secukupnya?

Perkara tersebut perlu direnung kembali dan sewajarnya dikaji semula oleh pihak berkuasa. Jangan sesekali melakukan diskriminasi kepada mereka kerana penulis percaya, kesan yang teruk akan diterima semula.

Majikan seharusnya memberi yang terbaik kepada pekerja mereka agar mereka mendapat nikmat bekerja tersebut. Ini termasuklah juga kepada pekerja asing.

Pendapat penulis, tanpa perkhidmatan pekerja asing, majikan sukar untuk memperoleh hasil yang terbaik seperti yang diperoleh mereka. Jadi, keperluan asas mereka perlulah dijaga rapi.

Antara usaha terbaik kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perakuan Penginapan akan menjadi syarat wajib dan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini kepada majikan yang ingin mengambil pekerja asing baharu.

Hak asasi

Menurut beliau, majikan perlu mendapatkan Perakuan Penginapan daripada KSM bagi membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan visa kepada mereka.

Ia bermakna, penginapan yang disediakan perlu dipatuhi sebelum membawa pekerja asing masuk. Namun, jika dilakukan tanpa perakuan, pekerja tersebut adalah pendatang asing dan boleh dikenakan tindakan lanjut.

Penulis berharap melalui usaha tersebut, isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cepat dan hebat agar hak asasi pekerja asing dapat diperjuangkan.

Penulis juga mencadangkan agar layanan yang sebaiknya perlu diberikan sama seperti pekerja bumiputera yang lain kerana mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

Penulis juga berharap, agar masyarakat dapat membantu dalam membanteras diskriminasi terhadap pekerja asing.

Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui perbuatan tersebut kerana ia merupakan satu penindasan dan tidak wajar dilakukan.

* Nazrin Zulkafli ialah Wartawan Sinar Harian