Dusun Tua dan masa depan kerjasama UMNO-PH

Adakah UMNO mahu terus menjadi rakan yang membantu PH mengekalkan kerajaan? Foto: Fail/Bernama
Adakah UMNO mahu terus menjadi rakan yang membantu PH mengekalkan kerajaan? Foto: Fail/Bernama
A
A
A

PELUANG UMNO-Barisan Nasional (BN) di Selangor perlu dilihat melalui satu realiti politik dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 2023, gabungan itu hanya memenangi dua daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dusun Tua dan Sungai Air Tawar.

BN juga hanya memperoleh 9.18 peratus undi popular berbanding Pakatan Harapan (PH) 51.36 peratus dan Perikatan Nasional (PN) 37.80 peratus.

Angka itu menunjukkan cabaran besar perlu dihadapi UMNO jika mahu memperluas semula pengaruh di Selangor.

Namun, dua kerusi yang dimenangi itu tetap memberikan parti berkenaan kedudukan dalam kerajaan negeri melalui kerjasama dengan PH.

Persoalan paling utama ialah Dusun Tua dan kerusi itu kini menjadi medan pertembungan kepentingan apabila DAP menyatakan hasrat untuk bertanding semula, sedangkan UMNO mempunyai penyandang memenanginya pada 2023.

Menariknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz pada 23 November dilapor menyatakan beliau akan akur dengan apa juga keputusan kepimpinan UMNO berhubung kerusi berkenaan.

Kenyataan itu meletakkan keputusan akhir di tangan rundingan parti, bukannya penyandang semata-mata.

Dusun Tua bukan sekadar kerusi yang mahu dituntut semula DAP. Ia juga simbol pengorbanan UMNO dalam rundingan pembahagian kerusi pada 2023.

Jika UMNO mempertahankan kerusi itu, DAP perlu menerima bahawa persefahaman lama masih mempunyai nilai.

Artikel Berkaitan:

Namun, jika UMNO bersetuju menyerahkannya, parti itu perlu menjelaskan bagaimana kepentingannya dalam rundingan kerusi akan terus dipelihara.

Situasi ini boleh menjadi ujian kepada kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

UMNO berdepan persaingan dengan PN, khususnya Pas malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin akan turut meletakkan calon dalam kawasan mempunyai pengundi Melayu besar.

Kajian Institut ISEAS–Yusof Ishak (ISEAS) mengenai PRN 2023 turut merekodkan kemerosotan sokongan Melayu kepada PH-BN dan peningkatan pengaruh PN yang berjaya meningkatkan jumlah kerusi daripada lima kepada 22.

Justeru, UMNO perlu berhadapan dua cabaran serentak iaitu membina semula keyakinan pengundi Melayu dan menentukan bagaimana kerjasama dengan DAP dapat diterima oleh penyokong tradisionalnya.

Dengan hanya dua wakil rakyat, UMNO mempunyai ruang perwakilan yang kecil berbanding DAP yang memiliki 15 kerusi, namun kedudukan dalam kerajaan negeri memberikan UMNO ruang untuk memainkan peranan dalam pentadbiran.

Cabarannya ialah bagaimana peranan itu dapat diterjemahkan kepada penerimaan masyarakat, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan pengundi Melayu.

UMNO-BN di Selangor kini berhadapan persoalan lebih besar daripada sekadar mempertahankan dua kerusi yang dimenangi pada 2023.

Parti itu perlu menentukan bentuk kerjasama dengan PH, kedudukan dalam rundingan agihan kerusi serta pendekatan untuk mengembalikan keyakinan pengundi.

Dusun Tua menjadi gambaran paling jelas tentang dilema tersebut. DAP mahu mendapatkan semula kerusi itu, manakala UMNO mempunyai kepentingan mempertahankannya.

Jika DAP mempunyai kekuatan melalui jumlah kerusi, UMNO pula perlu memastikan kedudukannya sebagai rakan kerajaan tidak menyebabkan kepentingan politiknya semakin mengecil.

Persoalan yang wajar diperhatikan menjelang PRN akan datang ialah adakah UMNO mahu terus menjadi rakan yang membantu PH mengekalkan kerajaan, atau mahu menggunakan rundingan pilihan raya sebagai ruang membina semula pengaruhnya sendiri di Selangor?

*Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!