Masa depan industri hotel makin malap

Hotel Equatorial di Bukit Jambul, Georgetown akan menutup operasinya bermula 31 Mac ini.
Hotel Equatorial di Bukit Jambul, Georgetown akan menutup operasinya bermula 31 Mac ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Industri pelancongan dan perhotelan negara terus berdepan dengan suasana suram dan dibimbangi akan gulung tikar jika tidak dibantu dengan segera.

Tinjauan Sinar Harian di seluruh negara mendapati rata-rata pengusaha hotel memaklumkan bahawa perniagaan mereka merudum sehingga 80 peratus sejak langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Ekoran daripada itu, ada pengusaha terpaksa mengambil langkah mengecilkan atau menutup sementara operasi termasuk memberhentikan pekerja.

Di PULAU PINANG, industri perhotelan di negeri ini dilihat suram selepas sembilan hotel terpaksa ditutup sementara 21 lagi sudah menghentikan operasi sementara sejak PKP dilaksanakan tahun lalu.

Terbaru, pengurusan Hotel Equatorial Pulau Pinang telah mengumumkan pemberhentian operasi hotel terkemuka bertaraf lima bintang itu bermula pada 31 Mac ini setelah beroperasi sejak tiga dekad lalu.

Pemberhentian operasi hotel berkenaan dibuat selepas mengambil kira keadaan perniagaan yang dihadapi oleh pihak pengurusan susulan penularan Covid-19.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Raj Kumar berkata, industri perhotelan secara keseluruhan terjejas teruk apabila kadar penginapan hanya mencatat satu digit sejak awal PKP 2.0.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian di Batu Feringghi, Pulau Pinang mendapati keadaan sunyi dan suram tanpa kehadiran pelancong.
Tinjauan Sinar Harian di Batu Feringghi, Pulau Pinang mendapati keadaan sunyi dan suram tanpa kehadiran pelancong.

Menurutnya, industri perhotelan kini berdepan dengan halangan terbesar termasuk peningkatan kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji, pemberhentian kerja, penutupan sementara hotel dan penutupan terus.

“Banyak hotel yang terkesan malah ada yang sudah gulung tikar selain banyak lagi hotel lain yang sedang bergelut untuk terus bertahan.

“Saya berharap kerajaan dapat memberikan bantuan lebih banyak bagi industri perhotelan untuk terus bertahan,” katanya.

Di TERENGGANU, jumlah tetamu yang menginap di hotel dan resort di negeri ini mengalami kemerosotan lebih 80 peratus.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, larangan rentas negeri dan daerah itu memberi impak besar kepada industri perhotelan.

“Walaupun bilik hotel dibenarkan dibuka, nak dapat 10 peratus tempahan bilik pun susah.

“Boleh dikatakan separuh hotel di negeri ini dibuka tapi kos overhead yang ditanggung lebih tinggi berbanding pendapatan diperoleh,” katanya.

Dengan kesuraman industri perhotelan dan pelancongan kata Suaibah, MAH Terengganu yang mempunyai 36 hotel dan resort berharap kerajaan membenarkan semula pergerakan rentas negeri bagi menghidupkan semula sektor berkenaan.

Di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 80 peratus daripada 5,000 pekerja hotel di negeri ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, 35 hotel yang berdaftar dengan MAH, hanya tiga hotel sahaja yang tutup sementara sehingga 4 Februari ini, selebihnya beroperasi seperti biasa dengan jumlah pekerja yang minimum.

Katanya, kebanyakan hotel di negeri ini melakukan pengecilan operasi, menutup sementara, memberi cuti tanpa gaji dan melakukan pemotongan gaji untuk mengelakkan hotel mereka ‘bungkus’.

“Semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) lalu, industri hotel baru sahaja mahu bernafas semula tetapi sebaik sahaja PKP 2.0 dilaksanakan, semuanya terjejas serta kembali merudum,” katanya.

Haziz berharap kerajaan dapat pertimbangkan semula kebenaran rentas negeri dengan SOP yang diperketatkan.