Sawah padi, masjid jadi lokasi PdPR

Fathina Uzma (tengah) bersama adik-adiknya mengikuti PdPR di sebuah wakaf di kawasan sawah padi Kampung Kuar kerana capaian internet di kawasan itu kuat berbanding di kampung mereka.
Fathina Uzma (tengah) bersama adik-adiknya mengikuti PdPR di sebuah wakaf di kawasan sawah padi Kampung Kuar kerana capaian internet di kawasan itu kuat berbanding di kampung mereka.
A
A
A

PASIR MAS - Sawah padi di Kampung Kuar dan kawasan Masjid Pondok Darul Ulum, Kampung Serendah di sini menjadi lokasi 'hotspot' buat pelajar untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mana tidaknya, hanya dua lokasi itu sahaja yang mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi, sekali gus membolehkan para pelajar dari Kampung Hutan Malar, Serendah, Galok dan Kepas mengikuti sesi PdPR dengan lancar.

Seorang pelajar, Fathina Uzma Mohd Zaki, 20, mengakui dia dan pelajar lain terpaksa 'berkampung' di kawasan sawah padi itu bagi mengelakkan terlepas daripada mengikuti sesi PdPR.

“Mahu atau tidak hanya itu sahaja pilihan yang kami ada walaupun kawasan ini agak sunyi dan terpencil.

“Namun, saya cukup lega apabila ibu atau ayah sering menemani sepanjang mengikuti PdPR selain adik, Ain Baliqis, 13,” katanya yang merupakan pelajar tahun pertama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, setiap hari dia akan berulang-alik sejauh enam kilometer (km) untuk ke kawasan sawah padi itu bagi mengikuti PdPR.

Capaian internet yang kuat di kawasan Masjid Pondok Darul Ulum, Serendah menyebabkan pelajar di kawasan tersebut memenuhi kawasan itu bagi mengikuti PdPR.
Capaian internet yang kuat di kawasan Masjid Pondok Darul Ulum, Serendah menyebabkan pelajar di kawasan tersebut memenuhi kawasan itu bagi mengikuti PdPR.

Katanya, bukan itu sahaja dia juga terpaksa menumpang di rumah sepupunya di Bukit Panau, Tanah Merah untuk mengikuti sesi perbincangan, terutamanya pada waktu malam.

Artikel Berkaitan:

Fathina Uzma berkata, sebelum ini dia pernah 'bertemankan' suara teriakan kerbau semasa menjalani proses temuduga kemasukan ke UPM bagi mengikuti kursus Sarjana Muda Pendidikan Sains Rumah Tangga.

“Bagaimanapun, saya gembira apabila diterima masuk bagi mengikuti jurusan berkenaan,” katanya.

Seorang lagi pelajar Muhamad Fais Azroy Nazeri, 23, berkata, dia terpaksa menunggang motosikal sejauh dua km setiap hari bagi mendapatkan capaian internet yang kuat di kawasan Masjid Pondok Darul Ulum, Serendah.

Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam itu berkata, dia terpaksa berkampung di masjid itu berikutan capaian internet di kawasan rumahnya agak rendah, sekali gus merencatkan proses PdPR.

Muhamad Fais Azroy (kanan) bersama rakannya terpaksa berkampung di masjid seharian demi menyiapkan tugasan universiti.
Muhamad Fais Azroy (kanan) bersama rakannya terpaksa berkampung di masjid seharian demi menyiapkan tugasan universiti.

“PKP 1.0 dan 2.0 memang cukup perit untuk saya mengikuti PdPR kerana kekangan masa serta pergerakan yang agak terbatas.

“Situasi itu membuatkan saya terpaksa 'berkampung' di sini bagi memastikan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah dapat disempurnakan dengan baik.

“Lebih-lebih lagi pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya waktu siang sahaja kami boleh berada di sini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaki Abdul Rahman, 46, mendedahkan masalah capaian internet lemah di kawasan berkenaan sudah lama berlaku sejak kemudahan itu diperkenalkan oleh syarikat telekomunikasi.

“Saya mewakili penduduk merayu kepada pihak berkenaan supaya turun padang bagi melihat sendiri dan menyelesaikan masalah ini demi kepentingan pelajar.

“Difahamkan, lebih 1,000 pelajar berdepan dengan masalah capaian internet rendah di kawasan ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada pelajar yang sanggup membina pondok di dalam semak disebabkan PKP bagi mengelakkan aktiviti berkumpul untuk mendapatkan perkhidmatan internet tidak dikesan.