Dua peniaga didakwa tipu pelaburan Bitcoin

Dua peniaga didakwa memperdaya tiga mangsa dalam pelaburan Bitcoin Actionnode di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
Dua peniaga didakwa memperdaya tiga mangsa dalam pelaburan Bitcoin Actionnode di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Dua peniaga didakwa atas tiga pertuduhan penipuan pelaburan Bitcoin Actionnode membabitkan kerugian RM150,500 di Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada Selasa.

Tertuduh, Reduan Ismail, 38 dan Adan Ibrahim, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama didakwa menipu Nur Raihan Shabila Md Noor, 24, dan Rozidah Yahaya, 49, mendorong kedua-dua mangsa melaburkan sebanyak RM26,000 dan RM120,000 dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat memberi pulangan sebanyak 20 peratus selama tujuh bulan berturut-turut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Casuarina di Meru, kira-kira jam 12 tengah hari pada 26 Julai 2020.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa atas pertuduhan sama dengan menipu Normah Shaari, 60, yang mendorong untuk melabur berjumlah RM4,500 di lokasi sama kira-kira jam 10 pagi pada 8 Mei 2020.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala, kedua-dua tertuduh diwakili Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurradiah Zaini.

Terdahulu, Aizul memohon mahkamah supaya memberikan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik selain akaun bank perniagaan sudah lama dibekukan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin dengan RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes.