Perak alami defisit RM77.4 juta kesan Covid-19, PKP

Saarani menyampaikan Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2021 bersama penjawat awam secara maya yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Isnin.
Saarani menyampaikan Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2021 bersama penjawat awam secara maya yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mencatatkan perbelanjaan defisit sebanyak RM77.4 juta buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun pada tahun 2020 kesan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, dalam konteks pungutan hasil kerajaan negeri pula, jumlah terima hasil pada tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus iaitu RM111.4 juta berbanding 2019.

Menurutnya, kesuraman ekonomi akibat pandemik tersebut menuntut kerajaan berbelanja lebih daripada kebiasaan sekaligus menjejaskan keadaan fiskal kerajaan.

"Realitinya, perang melawan Covid-19 benar-benar mencengkam kehidupan rakyat. Memasuki jendela tahun 2021, cabaran yang menanti kita pastinya lebih getir. Pandemik virus ini belum ada tanda-tanda akan berakhir.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua walaupun dengan SOP lebih longgar tetap meletakkan ekonomi negara terus berdepan ketidaktentuan. Ketidaktentuan ini sedikit sebanyak akan menghambat kehidupan rakyat," katanya ketika menyampaikan Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2021 bersama penjawat awam secara maya yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Isnin.

Saarani berkata, pentadbiran kerajaan negeri disaran melihat peluang penjanaan hasil tahun ini tanpa memperkenalkan cukai baharu yang boleh membebankan rakyat dan pemain industri.

Katanya, antara kaedah yang boleh dilaksanakan ialah memperkenalkan pendekatan lebih mesra untuk mengutip hasil dengan meneruskan pemberian diskaun tunggakan cukai tanah atau pengecualian denda lewat cukai tanah.

Jelasnya, kerajaan negeri juga perlu mengkaji semula perjanjian atau dasar sedia ada yang boleh membawa manfaat kepada negeri dan rakyat terutama dalam sektor melibatkan tanah, air serta sumber hutan.

Artikel Berkaitan:

"Saya meminta supaya kita mengenal pasti jika ada ruang untuk dipinda perjanjian atau dasar yang boleh mendatangkan penjimatan dan mengoptimumkan perbelanjaan tanpa sebarang impak negatif atau kesan sampingan.

"Kita perlu menyemak semula mana-mana perjanjian yang mungkin selama ini merugikan kerajaan," katanya.

Beliau turut meminta penguatkuasaan ditingkatkan dan mengelak ketirisan dengan memastikan hasil negeri tidak dieksploitasi pihak tertentu.

Katanya, kerajaan juga boleh meneroka hasil baharu dengan memanfaatkan potensi Perak yang berada dalam kedudukan strategik di samping ada sumber dan aset seperti mineral, sumber asli, pelabuhan serta kekayaan flora dan fauna.

Sementara itu, Saarani turut mengumumkan bahawa pentadbirannya sedang merangka blueprint atau pelan pembangunan negeri yang dijangka dilancarkan pada pada Mac depan.

Beliau berkata pelan pembangunan tersebut akan menetapkan dasar-dasar strategik bagi menjadikan Perak sebagai negeri maju, berdaya saing dan mampan.

Katanya, bagi tujuan itu, Institut Darul Ridzuan (IDR) yang sedang distrukturkan semula sebagai badan pemikir negeri akan membuat kajian khusus dan libat urus dengan agensi-agensi kerajaan serta para pemegang taruh bagi merangka pelan berkenaan.

Mengulas mengenai kesan penguatkuasaan PKP di Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menjelaskan sektor pelancongan antara yang paling terkesan.

"Berdasarkan kajian Tourism Malaysia di tiga lokaliti iaitu Ipoh, Taiping dan Pulau Pangkor, jumlah penginap domestik bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berkurangan 62.8 peratus kepada hanya 488,000 orang berbanding 1.3 juta orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

"Bagi tempoh yang sama juga, penginap antarabangsa berkurangan sebanyak 64.3 peratus iaitu 52,000 orang pada tahun 2020 berbanding 147,000 orang pada 2019. Ini menjadikan jumlah penginap hotel di Perak jatuh mendadak sebanyak 62.9 peratus iaitu berkurangan daripada 1.4 juta orang pada 2019 kepada hanya 540,000 orang pada 2020," katanya.

Menurutnya, bagi situasi pengangguran di Perak pula, laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan bilangan penganggur di Perak pada tahun 2019 adalah seramai 36,700 orang dengan kadar pengangguran pada 3.4 peratus.

Bagaimanapun katanya, selepas PKP yang pertama dilaksanakan, jumlah itu meningkat kepada 46,200 orang pada suku pertama tahun lalu dan terus meningkat kepada 5.4 peratus pada suku tahun kedua tahun sama dengan bilangan penganggur seramai 59,400 orang.

Jelasnya, hanya selepas PKP pertama berakhir, jumlah itu menurun sedikit kepada 4.7 peratus pada suku keempat 2020, menjadi 53,100 orang penganggur di negeri ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri menggariskan lima teras utama yang menjadi agenda penting pada tahun 2021 iaitu Merangsang Ekonomi Yang Berdaya Tahan, Memantapkan Sistem Penyampaian Awam, Menegakkan Keadilan Sosial dan Pembasmian Kemiskinan; Memacu Pemodenan dan Budaya Pendigitalan dan Meneraju Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar.