Enam kali lanjut tempoh siap projek

Mohammad Nizar
Mohammad Nizar
A
A
A

IPOH - Kontraktor yang bertanggungjawab terhadap lapan projek loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di sekitar bandar raya Ipoh telah diberikan lanjutan tempoh sebanyak enam kali.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lanjutan diberikan berikutan projek penyelenggaraan dijalankan sejak 2015 itu gagal disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan.

Menurutnya, berdasarkan laporan diberikan, masa lebih lama diperlukan disebabkan terdapat struktur bongkah batu bawah tanah di lokasi yang menyukarkan kerja-kerja dilakukan selain kelengkapan peralatan perlu diimport dari negara luar.

"Sepatutnya projek ini siap pada September depan setelah pihak kontraktor diberi lanjutan tempoh masa sebanyak enam kali.

"Bagaimanapun, berdasarkan pelaksanaan projek di tapak, berlaku beberapa punca yang memaksa projek ini dilanjutkan ke November depan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Lapan projek itu merangkumi dua di Jalan Tambun iaitu di hadapan Hospital Pantai dan bawah jejambat; Jalan Tingkat Taman Ipoh, Jalan Kelab Golf, Jalan Othman Talib, Jalan Bijih Timah, Jalan Batu Bungkal dan Jalan Kamaruddin Isa.

Mohammad Nizar berkata, buat masa ini semua projek di bawah seliaan Mangkubumi Sdn Bhd itu telah mencapai kelengkapan kerja melebihi 90 peratus.

Begitupun, pihaknya mahu pihak berkuasa seperti Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan pemantauan ketat agar projek dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa perlu lanjutan tempoh lagi.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang projek ini berjalan, kita di pihak kerajaan negeri menerima banyak aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan keadaan lalu lintas.

"Bukan sahaja menjadi punca kekerapan kemalangan, malah kualiti kerja-kerja tampalan semula setelah projek siap juga sangat mengecewakan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kelewatan menyiapkan projek di lapan lokasi tersebut menjadi ‘igauan’ pengguna jalan raya di Ipoh sejak sekian lama.

Antara lain kerana telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang melampau terutama pada waktu puncak di jalan-jalan utama.