Tidak adil salahkan klinik dan hospital swasta: MMA

Dr Subramaniam
Dr Subramaniam
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berpandangan bahawa tidak adil menyalahkan pihak klinik dan hospital swasta susulan kegagalan melaporkan kes positif Covid-19 secara terus pada hari sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Menurut laporan portal Berita Harian, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, makmal yang memproses ujian saringan Covid-19 sudah terlalu penuh, maka dakwaan terhadap klinik serta hospital swasta itu amat membimbangkan.

Dr Subramaniam berkata, berdasarkan prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menjadi tanggungjawab individu yang memproses sampel ujian saringan di makmal, melaporkan kes positif Covid-19 menerusi SIMKA.

Tambahnya, bukan menjadi kegagalan pengamal perubatan swasta untuk melaporkan kes positif kerana 100 peratus proses saringan menggunakan RT-PCR dibuat di makmal.

"Saya berpendapat adalah lebih adil jika pengamal kesihatan swasta dimaafkan buat masa ini. Kita seharusnya bekerja secara berkumpulan dan tidak perlu menyalahkan antara satu sama lain.

"Malah, jika benar berlaku kelewatan melaporkan kes positif Covid-19, mengapa tiada tindakan diambil terhadap pihak kesihatan swasta ini. Di manakah penguatkuasaannya?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau berharap, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dapat menambah baik sistem kesihatan sedia ada terutama membabitkan proses pengesahan kes Covid-19.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan mendadak kes Covid-19 di Selangor berpunca daripada kes tertunggak kumulatif daripada saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, JKNS akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui SIMKA.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kes meningkat kerana tak dilapor secara terus