Covid-19: Kes meningkat kerana tak dilapor secara terus

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kes kumulatif (backlog cases) melibatkan saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus menjadi penyumbang kepada peningkatan kes baharu Covid-19 di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 Selangor pada Jumaat bagi membincangkan peningkatan mendadak wabak itu.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

"Selain itu, mesyuarat turut mengenal pasti kilang-kilang di Selangor sebagai kawasan utama perebakan dan oleh itu, kerajaan negeri akan melaksanakan saringan menerusi Program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS) di lokasi-lokasi ini.

"Malah, bagi menggelakkan tercetus kluster baharu di kilang dan tempat kerja, kerajaan Selangor juga mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar dapat mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Malaysia merekodkan kes tertinggi Covid-19 pada Jumaat dengan mencatatkan sebanyak 5,725 kes baharu di mana Selangor turut merekodkan sebanyak 3,126 kes.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan cadangan bagi menambah pusat Covid Assesement Center (CAC) khususnya di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak.

"CAC berperanan untuk menganalisa pesakit Covid-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum di bawa ke pusat kuarantin atau hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Amirudin berkata, JKNS turut memaklumkan Pusat Kuarantin Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 pesakit.

Katanya, fasiliti khas seperti khemah dan peralatan perubatan turut disediakan bagi mudahkan petugas barisan hadapan.

"Saya menyeru semua pihak untuk bersama memutuskan rantaian Covid-19 dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.