DAP gesa bekukan kenaikan cukai MPTI

Kor Ming (kiri) mendengar keluhan peniaga berikutan pengumuman kadar baharu sewaan yang dikenakan oleh MPTI. - Foto ihsan DAP Perak
Kor Ming (kiri) mendengar keluhan peniaga berikutan pengumuman kadar baharu sewaan yang dikenakan oleh MPTI. - Foto ihsan DAP Perak
A
A
A

TELUK INTAN - [DIKEMASKINI] DAP Perak menggesa kerajaan negeri membekukan segala kenaikan kadar baharu sewa gerai-gerai Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang dilihat membebankan peniaga.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, kadar baharu itu melibatkan kenaikan sebanyak 80 hingga 300 peratus.

Menurutnya, tindakan itu disifatkan sebagai tidak masuk akal ketika negara berhadapan wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"DAP mendengar keluhan peniaga-peniaga gerai majlis Jalan Bandar, Jalan Mahkota dan juga Glutton Square yang telah mengalami kenaikan kadar sewa yang mendadak.

"Pimpinan ahli majlis Pakatan Harapan sebelum ini berjaya menghentikan niat MPTI untuk menaikkan kadar sewa pada tahun 2019, kenapa kerajaan kini gagal mempertahankan hak dan kebajikan peniaga yang berpendapatan rendah," katanya.

Kor Ming berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan meminta kenaikan cukai (sewaan) ditangguhkan sehingga ekonomi negara beransur pulih.

Sementara itu, Yang Dipertua MPTI, Ismail Ibrahim berkata, berdasarkan Perjanjian Penyewaan telah menyatakan pihaknya boleh menyemak kadar sewa selepas tiga tahun penyewaan.

Menurutnya, kadar sewa premis-premis perniagaan milik MPTI tidak pernah disemak semula dan ada di antaranya sejak tahun 1980-an lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan kadar sewa tersebut tidak lagi relevan berbanding nilai sewaan semasa. Mengambil kira kos pentadbiran dan pengurusan penyewaan serta kos penyelenggaraan yang semakin meningkat, MPTI memutuskan supaya dibuat semakan kadar sewa baru bagi penyewaan sebahagian premis-premis berkuat kuasa 1 Mac.

"Walaupun terdapat sedikit kenaikan sewa, MPTI juga mengambil kira agar kenaikan tersebut adalah pada kadar minima dan tidak membebankan penyewa. Kadar sewa baru masih di bawah kadar sewaan pasaran semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Ismail berkata, MPTI telah menyediakan pelbagai insentif bagi meringankan beban peniaga.

"Tahun lepas, MPTI telah menyalurkan bantuan khas sekali bayar daripada kerajaan negeri sebanyak RM500 kepada 1,028 penyewa dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM514,000.

"MPTI telah memberikan pengecualian bayaran sewaan selama empat bulan juga insentif kerajaan negeri kepada 1,276 premis melibatkan peruntukan sebanyak RM710,230," katanya.

Katanya, dengan situasi semasa pandemik dan tempoh proklamasi darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos ini, kadar baharu sewaan itu akan dilaksanakan selepas tamat sahaja tempoh tersebut atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan pada bulan yang sesuai tahun 2021.