X

Kindly register in order to view this article
!

Misi MAFI Prihatin: 106 ahli PPK Beluran terima bantuan makanan

Ronald (kiri) serahkan bantuan keperluan makanan pada majlis di Pejabat PPK Beluran pada Sabtu. - Foto Ihsan MAFI
A
A

BELURAN - Seramai 106 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran, Sabah hari ini menerima bantuan berupa keperluan makanan menerusi 'Misi Mafi Prihatin' ke Sabah.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan pada Sabtu memberitahu, bantuan tersebut diagihkan pihaknya bagi meringankan beban penduduk khususnya penternak, petani dan nelayan di Kampung Pinangkau, Sungai-Sungai dan Kelagan Jaya yang terjejas akibat banjir.

"Bantuan menerusi misi ke Sabah itu dimulakan di daerah Beluran dan disempurnakan oleh Menteri MAFI yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada majlis penyerahan bantuan di pejabat PPK Beluran hari ini.

"Bantuan berupa keperluan makanan diserahkan kepada LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) Sabah melalui PPK Beluran untuk diagihkan kepada 106 ahlinya di tiga lokasi terbabit," katanya.

Ronald (depan, dua dari kanan) bersama barangan keperluan makanan yang diagihkan menerusi 'Misi Mafi Prihatin' ke Sabah pada Sabtu. - Foto Ihsan MAFI
Ronald (depan, dua dari kanan) bersama barangan keperluan makanan yang diagihkan menerusi 'Misi Mafi Prihatin' ke Sabah pada Sabtu. - Foto Ihsan MAFI

Beliau berkata, penyampaian sumbangan bantuan banjir 'Misi MAFI Prihatin' merupakan tanggungjawab sosial MAFI yang mengumpulkan sumbangan keperluan asas makanan dari jabatan dan agensi di bawahnya antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), LPP, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Sabah.

Difahamkan 'Misi MAFI Prihatin' sebelum ini dilancarkan pada 21 Januari lalu di Wisma Tani, Putrajaya melibatkan penghantaran bantuan keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas ke empat kawasan Parlimen di Pahang iaitu Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Maran.

Turut hadir, pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, Samad Jambri.

Menurut kenyataan itu lagi, pada majlis sama, Ronald turut menyampaikan replika kunci kenderaan pengangkutan pacuan empat roda iaitu Toyota Single Cab sempena Program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRE) di bawah Program Peningkatan Mobilisasi dan Logistik Bahan Makanan bernilai RM100,000 kepada PPK Beluran untuk kegunaan di lapangan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!