Defisit kerajaan naik satu kali ganda di bawah PH, kata Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Defisit kerajaan di bawah PH telah naik sekali ganda sejak mereka mengambil alih pentadbiran.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia berdasarkan kepada data rasmi terbaru dari Bank Negara Malaysia (BNM) di mana perbelanjaan kerajaan bagi tempoh Mei hingga Disember 2018 ialah RM187.31 bilion berbanding RM171.65 bilion bagi tempoh 2017 yang sama di bawah BN.

"Ini bermakna defisit di bawah PH iaitu RM26.05 bilion untuk tempoh 8 bulan ini adalah kira-kira satu kali ganda lebih berbanding defisit RM13.2 bilion untuk tempoh yang sama di bawah BN pada 2017.

"Defisit ini meningkat walaupun mereka telah menjarah RM26 bilion dari Petronas untuk tahun ini," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, sekiranya wang tambahan dari Petronas tidak diambil kira, kerajaan PH telah mengalami defisit sebanyak RM52.05 bilion iaitu empat kali ganda berbanding BN.

"Lebih mencurigakan ialah perbelanjaan kerajaan di bawah PH untuk tempoh 8 bulan selepas mereka mengambil alih adalah RM16 bilion lebih tinggi berbanding BN walaupun rata-rata bantuan kepada rakyat telah dimansuhkan atau dikurangkan.

"Di mana perginya perbelanjaan ini pula? Untuk siapa? Mengapa lebih tinggi?" soalnya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, hutang rasmi kerajaan bagi 2018 dijangka telah naik di bawah PH sekitar RM750 bilion walaupun pelbagai projek dan bantuan telah dimansuh atau dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

"Maka impian untuk kerajaan PH mencapai hutang RM1 trilion semakin hampir.

"Jika wang Petronas tidak dijarah untuk menutup hasil yang telah berkurangan, hutang negara sudah sampai RM775 bilion," katanya.

Tmabahnya, sebelum PRU14, PH sering berjanji akan menurunkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus dengan mengurangkan rasuah, pembaziran dan penyelewengan.

Kalau ikut logik PH sebelum ini, adakah rasuah, pembaziran dan penyelewangan telah bertambah di dalam tangan mereka?" soalnya.