X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Masih ramai pekerja asing belum disaring di Melaka

Kira-kira 9,912 daripada 12,447 pekerja asing di Melaka masih belum menjalani ujian saringan Covid-19. (Gambar hiasan) - Foto EPA-EFE
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Kerajaan negeri mengesahkan hanya 2,628 atau kira-kira 20 peratus pekerja asing daripada 99 majikan dalam pelbagai sektor di Melaka yang disaring ujian Covid-19.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah berkenaan membimbangkan kerana ia menunjukkan kira-kira 9,819 daripada 12,447 pekerja asing di negeri ini masih belum menjalani ujian saringan Covid-19 berdasarkan data yang diterima beliau pada Rabu .

Menurutnya, data yang diperoleh itu adalah hasil operasi yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka.

"Majikan diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikan proses saringan Covid-19 ke atas pekerja asing. Mereka (majikan) boleh membuat ujian saringan ke atas pekerja asing di mana-mana klinik atau hospital swasta yang menjalankan ujian saringan RTK Antigen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rahmad
Rahmad

Terdahulu, Perkeso bersama JTK Melaka dan JKKP Melaka menubuhkan pasukan petugas khas (taskforce) bagi mengesan majikan-majikan di Melaka yang masih belum melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, majikan yang gagal membuat saringan pekerja asing, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Peraturan 13 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 9) 2020).

Menurutnya, operasi yang dijalankan itu telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang lebih tinggi berbanding pekerja tempatan.

"Bagaimanapun segala kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!