Pihak berkuasa 'tutup mata' isu pembalakan haram, kata Mapim

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa didakwa tidak mengambil tindakan tegas dan bersikap menutup mata terhadap aktiviti pembalakan haram yang telah berlanjutan sejak bertahun-tahun lalu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, operasi pembalakan sangat mudah dikesan kerana ia melibatkan penggunaan jentera besar yang berulang alik dari kawasan hutan dengan begitu jelas tetapi tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, aktiviti pembalakan banyak berlaku tetapi tidak tahu sama ada diluluskan atau tidak kerana tidak ada pemberitahuan oleh pihak berkuasa kepada awam.

"Sepatutnya pihak berkuasa yang mengawal pembalakan perlu mengisytiharkan kepada umum, kompartmen yang diluluskan dan alasan ia diluluskan.

"Apabila berlaku bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir yang berkait dengan aktiviti pembalakan, baharu dimaklumkan bahawa operasi pembalakan ini tanpa kelulusan atau pembalakan dilakukan secara rambang tanpa pemantauan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, pembalakan haram pada hakikatnya tidak wujud.

"Sebaliknya yang ada ialah pembalakan haram yang dihalalkan apabila pihak berwajib memejamkan mata untuk tidak bertindak ke atas pihak yang beroperasi dengan bebas," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan negeri dan Pusat tidak mengambil mudah isu pembalakan kerana kesannya sangat serius untuk jangka pendek dan panjang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selagi pihak berkuasa tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya untuk membendung pembalakan, selagi itulah isu kemusnahan alam akan berlaku, malah lebih besar lagi apabila ditambah impak daripada fenomena perubahan cuaca.

"Penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah dalam industri pembalakan mestilah dibasmi habis-habisan," katanya.