Cadang Skim Kawalan Harga di kawasan PKP

Mohamad Yusrizal Yusoff
Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan agar Skim Kawalan Harga diperkenalkan sekiranya kerajaan mengarahkan kawasan tertentu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKPD Diperketatkan pada masa hadapan.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ini bagi mengelakkan berlaku kenaikan harga barang keperluan dan makanan oleh segelintir peniaga yang turut terkesan dengan situasi ekonomi terkini akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata, walaupun ada ketikanya kenaikan harga berlaku di luar kawalan, namun kerajaan wajar bertindak agar kenaikan tidak berlaku sewenang-wenangnya.

“Semua pihak terkesan sama ada pengguna mahupun peniaga. Perlu ada solusi berkesan secara menang-menang antara dua pihak agar tiada yang tertindas dengan kenaikan harga ini.

"Mungkin sudah tiba masanya Skim Kawalan Harga dikuatkuasakan di lokasi PKP dan PKPD agar tidak berlaku pembelian panik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga barangan keperluan amat dirasai pengguna dan pengusaha makanan terutama ikan dan sayuran kerana ia antara menu utama.

“Kebanyakan pengguna berpendapatan rendah membeli ikan kembung dan sardin untuk keperluan mereka. Sekiranya ikan rakyat ini juga naik harga, ia sangat membebankan golongan itu dan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya

Menurutnya, kenaikan harga sayur-sayuran turut memberi impak besar kepada pengguna berikutan ia antara makanan keperluan yang membekalkan khasiat kepada kesihatan selain menjadi menu utama golongan 'vegetarian'.

Artikel Berkaitan:

“Ada antara pengguna yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terpaksa berjimat cermat untuk memenuhi keperluan makanan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin yang mengatakan berlaku kenaikan harga makanan antara 30 hingga 250 peratus baru-baru ini disebabkan banjir di beberapa negeri selain sekatan PKP.

Ameer berkata, banjir telah merosakkan ladang dan jalan raya, manakala PKP menyebabkan pasar borong ditutup atau beroperasi pada waktu terhad menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Bagaimanapun, katanya. beliau menjangkakan keadaan akan kembali pulih dalam tempoh tiga minggu.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal mempersoalkan keberkesanan stok simpanan ikan segar sejuk beku, Q'Fish yang diperkenalkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Sejauh mana program ini berjaya mencapai matlamat mengatasi kekurangan bekalan ikan. Ketika bekalan berkurangan dan harga melambung tinggi, inilah masa sesuai stok ini dikeluarkan dalam pasaran.

"Ini supaya ia dapat mengawal harga ikan segar sekiranya berlaku kekurangan bekalan akibat cuaca mahupun bencana alam,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dapat memperluaskan serta menggalakkan pertanian dalam negara.

“Sumber kita agak kekurangan, sebab itu sayuran mahal. Kita perlu kembali kepada Buku Hijau yang diperkenalkan dahulu agar negara mengurangkan kebergantungan import bagi menstabilkan harga dan bekalan negara,” katanya.