X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan mengenai PKP hanya dibuat selepas penilaian KKM

Sebarang keputusan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mengambil kira kepentingan keseluruhan rakyat termasuk sektor ekonomi.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 4 Februari ini hanya akan dibuat setelah penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, keputusan juga akan mengambil kira kepentingan keseluruhan rakyat termasuk sektor ekonomi.

"Maklumat tersebar mengenai kerajaan akan melaksanakan sekatan pergerakan penuh seperti PKP 1.0 menimbulkan kebimbangan sehingga ada yang membuat pembelian panik.

"Saya ingin menyatakan bahawa keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) apabila hampir tiba tempoh tamat (PKP) pada 4 Februari nanti," katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini pada Selasa.

Sebelum ini terdapat laporan media yang menyatakan kerajaan akan melaksanakan PKP lebih ketat seperti yang pertama kali diadakan di negara ini termasuk menutup semua sektor ekonomi untuk mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, mengulas laporan media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa PKP selepas 4 Februari akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata, ia hanya bayangan dan harapan ketua pengarah itu.

"DG (Ketua Pengarah Kesihatan) cuma berikan bayangan, tetapi ia difahami seolah-olah keputusan telah dibuat. Keputusan sebenar hanya akan diumumkan bila KKM telah berbincang dengan MKN nanti," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan Dr Noor Hisham berkata, PKP tidak akan disambung sebaliknya akan digantikan dengan PKPB selepas 4 Februari sehingga menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak ia akan menyebabkan penularan Covid-19 sukar dikawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua digit kes selepas pelaksanaan PKPB selama tiga bulan

Menjelas lanjut mengenai keputusan yang akan diambil kerajaan berkenaan PKP itu kelak, Ismail Sabri berkata, walaupun ada pihak bersetuju dengan pelaksanaan PKP lebih ketat dengan menutup sebahagian sektor ekonomi tetapi kerajaan juga perlu mempertimbangkan ekonomi rakyat.

"Memang jika tiada sebarang perniagaan, duduk di rumah ia akan membantu mempercepatkan penurunan kes tetapi kita juga melihat kepada peniaga mikro, yang bekerja dengan gaji harian, mereka boleh hilang punca pendapatan," katanya.

Beliau turut berkata, jika PKP lebih ketat dilaksanakan beberapa kesan terpaksa ditanggung seperti 2.8 juta rakyat berisiko hilang pekerjaan, 2.5 juta pekerja terjejas pendapatan dan sukar meneruskan kelangsungan hidup.

Kesan lain, katanya, ialah kehilangan pendapatan golongan B40 yang dianggarkan RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 bagi sebuah keluarga dalam sebulan.

"Ini antara sebahagian kesan yang terpaksa kerajaan pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan.

Jadi bila tiba tempoh 4 Februar ini, KKM, MOF (Kementerian Kewangan), Bank Negara akan berbincang kesan-kesan yang akan timbul jika sekatan pergerakan penuh dilaksanakan,” kata Ismail Sabri. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) [LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Tuesday, January 26, 2021


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!