PdPR: KPM disaran sedia komputer riba untuk pelajar susah

KPM disaran bekalkan komputer riba pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka mengikuti PdPR dengan baik. - Foto 123RF
KPM disaran bekalkan komputer riba pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka mengikuti PdPR dengan baik. - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran membekalkan komputer riba untuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan baik.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ia perlu bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir memandangkan majoriti ibu bapa didapati tidak mampu menyediakan kemudahan itu.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di atas permasalahan pandemik Covid-19 bukan hanya memberi kesan buruk kepada ekonomi tetapi juga kepada pembangunan pendidikan negara.

“Usaha ini jika dipersetujui untuk dilaksanakan perlu secara berperingkat kerana tidak mudah untuk memperoleh kesemua keperluan perkakasan serentak dengan serta-merta kerana ia membabitkan jumlah perkakasan yang agak besar, " katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan rekod dikeluarkan KPM pada 31 Julai 2020, terdapat seramai 4,987,401 pelajar iaitu 2,037,433 pelajar sekolah menengah, 2,741,837 pelajar sekolah rendah dan 208,131 pelajar pra-sekolah.

Tambah beliau, dianggarkan seramai 1.5 juta penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Bagi saya kajian perlu dibuat daripada hampir keseluruhan 6.5 juta pelajar di negara ini, berapa ramai yang masih tidak mempunyai kemudahan asas komputer yang perlu dibantu oleh kerajaan.

“Jika kita menganggarkan sekitar 70 peratus pelajar tidak mempunyai kemudahan ini dan sememangnya tidak berkemampuan untuk memperoleh komputer riba, ini bermakna kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membantu menyediakan sekitar 4.5 juta komputer riba, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Rafie, pembelian secara pukal memungkinkan nilai perkakasan dan perisian (software) asas yang boleh diperoleh bernilai sekitar RM1,200 untuk setiap unit.

“Ini bermakna kos keseluruhan pakej bantuan khas kerajaan untuk 4.5 juta unit komputer riba akan bernilai RM5.4 bilion

"Peruntukan ini walaupun besar tetapi merupakan pelaburan yang kritikal. Jadi penting untuk kita cuba meminimumkan impak permasalahan negara dalam perspektif pendidikan yang kita sedang hadapi ketika ini," katanya.