Gajah ganggu kebun Bukit Bangkong berjaya ditangkap

IPOH - Seekor gajah liar yang sebelum ini mengganggu pekebun di Rancangan Pertanian Berkelompok Ulu Chemor, Bukit Bangkong, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada Isnin.
Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, gajah jantan seberat 2.4 tan itu ditangkap di Kampung Tonggang, Tanjung Rambutan di sini.
Menurutnya, gajah itu dipercayai daripada kumpulan sama yang dilaporkan menceroboh kawasan kebun dan merosakkan tanaman serta peralatan pertanian penduduk sebelum ini.
"Aduan gangguan gajah liar di kawasan berkenaan diterima Perhilitan pada 27 September, 3 Oktober dan 11 Oktober lalu.
"Susulan itu, pemantauan dan tindakan kawalan dilaksanakan di kawasan berkenaan sehingga kita berjaya menangkap seekor gajah jantan di Kampung Tonggang hari ini," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Beliau berkata, gajah tersebut dijadualkan dipindahkan ke habitat bersesuaian menerusi operasi translokasi pada 16 November ini.
Katanya, penangkapan gajah berkenaan diharap dapat mengurangkan risiko kerosakan tanaman dan harta benda pekebun di kawasan terbabit.
"Tindakan ini juga diharap dapat meredakan kebimbangan penduduk dan pekebun yang sebelum ini berdepan gangguan haiwan liar," katanya.
Pada 16 Oktober lalu, media melaporkan kebimbangan pekebun di Bukit Bangkong selepas tanaman dan peralatan kebun mereka mengalami kerosakan akibat gangguan sekawan gajah liar sejak akhir September.
Kejadian yang berlaku sebanyak tiga kali itu bukan sahaja menyebabkan pokok buah-buahan ranap dipijak, malah turut merosakkan tangki tadahan air, kolam, sistem paip dan peralatan pertanian termasuk bekalan baja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

