Cubaan seludup 80 tong minyak petrol ke negara jiran gagal

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir (dua,kanan) menunjukkan gula yang dirampas dalam serbuan pada Ahad.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir (dua,kanan) menunjukkan gula yang dirampas dalam serbuan pada Ahad.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah berjaya menahan dua buah kenderaan yang dipenuhi 80 tong plastik yang digunakan bagi mengisi minyak petrol dipercayai untuk diseludup, di sebuah stesen minyak di Kampung Estate Kerrilla di sini pada Ahad.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Tanah Merah Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, hasil risikan yang dijalankan, kegiatan penyeludupan tersebut dipercayai untuk jualan di negara jiran melalui salah satu pengkalan haram di kawasan tersebut.

Menurutnya, stesen minyak berkenaan kebiasaannya di tutup pada jam 8 malam namun ketika serbuan dilakukan, ia ditutup pada jam 7.30 malam, dipercayai untuk memberi ruang kepada aktiviti penyeludupan tersebut.

“Semasa serbuan, enam anggota kami telah membuat pemerhatian dan mendapati dua buah kenderaan mencurigakan telah memasuki stesen minyak itu. Semasa serbuan, dua buah kenderaan tersebut memang dipenuhi dengan tong namun hanya beberapa tong yang sempat diisi dengan petrol sebanyak 195 liter.

"Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM8,370 serta pemilik stesen minyak turut disoal siasat, dipercayai terlibat dengan aktiviti itu dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Azizi berkata, hasil serbuan tersebut, seorang lelaki yang juga pemandu salah sebuah kenderaan berumur 29 tahun berjaya ditahan dan seorang lagi suspek melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Sementara itu dalam operasi berasingan pada hari sama, KPDNHEP Tanah Merah berjaya merampas 2,108 kilogram gula pasir bernilai RM6,007, di sebuah premis perniagaan runcit di Kampung Gemang Jeli.

Dalam operasi pada jam 1.30 petang itu, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis tersebut memiliki barang kawalan iaitu gula melebihi had runcit yang dilesenkan dan gagal untuk menyelenggara buku stok.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik premis juga gagal untuk mengemukakan dokumen semasa operasi dijalankan dan kesalahan disiasat dibawah Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Untuk rekod sepanjang Januari tahun ini, KPDNHEP Tanah Merah mencatatkan tujuh kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM19,469.83 secara keseluruhannya.