Pembeli pangsapuri kecewa aduan tidak dilayan

Muhammad Nazrin (kanan) menunjukkan pelan asal Pangsapuri Seri Iskandar.
Muhammad Nazrin (kanan) menunjukkan pelan asal Pangsapuri Seri Iskandar.
A
A
A

PARIT - Lebih 700 pemilik Pangsapuri Seri Iskandar di sini kecewa apabila pihak pemaju dan kontraktor mengambil sikap ‘lepas tangan’ berhubung pelbagai masalah membabitkan rumah yang dibeli mereka sejak dua tahun lalu.

Pemilik, Muhammad Nazrin Sulaiman berkata, pelbagai aduan sudah dikemukakan berhubung masalah fasiliti, pendawaian, penyelenggaraan serta saiz rumah yang meragukan.

Menurutnya, mereka tidak pernah culas membayar wang pengurusan setiap bulan tetapi tiada sebarang penambahbaikan atau penyelenggaraan dilakukan sehingga lif di bangunan lapan tingkat itu turut mengalami kerosakan.

“Lebih banyak kerosakan dapat dilihat selepas menerima kunci termasuk rumah retak, peralatan elektrik yang dipasang tiada label keselamatan Sirim atau tidak berkualiti dan membahayakan.

“Kolam renang juga tidak dijaga dengan baik dan tiada ciri keselamatan selain pintu surau menghadap kiblat,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Muhammad Nazrin yang juga ketua pengurusan baharu pangsapuri itu berkata, hasil penelitian mendapati banyak kepincangan berlaku termasuk urusan sewaan oleh badan pengurusan sewaan yang dilantik.

“Ramai pembeli merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai barisan hadapan di seluruh negara dan sebahagian mereka menjadikannya sebagai pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Pangsapuri Seri Iskandar merupakan pangsapuri pertama di bina di Daerah Perak Tengah mempunyai lebih 700 unit.
Pangsapuri Seri Iskandar merupakan pangsapuri pertama di bina di Daerah Perak Tengah mempunyai lebih 700 unit.

“Jadi, syarikat yang mengurus sewaan ini memegang kunci rumah untuk disewakan kepada orang lain tetapi dalam tempoh dua tahun itu, satu sen pun kami tidak dapat,” katanya.

Katanya, pihaknya telah mengesan beberapa aspek yang dianggap sebagai sesuatu yang tidak betul daripada pihak pemaju dan pengurusan terdahulu.

“Rumah bermasalah, audit keluar masuk duit selenggara tidak lengkap dan hanya diperoleh sehingga 31 Ogos sahaja selain fasiliti yang tidak boleh digunakan.

“Pembinaan rumah tidak mengikut spesifikasi pelan asal. Apabila diajak bersemuka bagi membincangkan masalah ini, pemaju dan kontraktor berdolak dalik memberi pelbagai alasan,” katanya.

Justeru, Muhammad Nazrin memaklumkan turut membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiga laporan polis selepas meragui kualiti binaan rumah tidak setimpal dengan harga jualan yang melebihi RM200,000 seunit.

Sementara itu, wakil syarikat pemaju ketika dihubungi Sinar Harian mengambil maklum aduan pembeli dan akan dibawa ke pengetahuan pengurusan atasan untuk diteliti.