Tular lulus permit: Biar saya semak dulu, kata MB Perak

Ahmad Faizal (dua kanan) bergambar ketika sesi menggaul Lou Sang di sini, hari ini.
Ahmad Faizal (dua kanan) bergambar ketika sesi menggaul Lou Sang di sini, hari ini.
A
A
A

LUMUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan pihaknya akan meyemak terlebih dahulu surat kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan di dua lokasi di negeri ini yang tular sejak semalam.

Menurut Ahmad Faizal, pihaknya tidak mengetahui cerita sebenar mengenai status permit yang bertarikh 14 Disember 2018 melibatkan projek pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Hutan Kinta Manjung.

"Wallahualam, saya tidak tahu hujung pangkal, jadi tak boleh nak cakap.

"Saya kena semak dulu dengan pejabat tanah dan pejabat hutan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Lou Sang Terpanjang di Perak, di Marina Island, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara seperti itu, perlu disemak dengan teliti.

"Kalau saya terus cakap nanti dia tak sampai, tak kena," ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya ada mendengar dakwaan mengenai hutan berkenaan di gazet olehnya dan ada juga mendakwa sudah digazet sejak 2015.

Terdahulu tular sepucuk surat tular di media sosial memaklumkan Kerajaan Negeri Perak, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/2018 pada November 2018 meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjawab kes penerokaan haram, Ahmad Faizal turut memaklumkan kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak pihak berkuasa untuk menyiasat kes yang dikatakan berlaku berhampiran Bukit Kledang susulan laporan polis yang dibuat oleh pihak Parti Sosial Malaysia.

Kerajaan negeri tidak akan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab di sebalik pencerobohan kawasan cerun bukit itu.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja pencerobohan itu didedahkan dengan menutup kawasan itu dan mendapatkan khidmat polis Bantuan untuk mengawal lokasi tersebut.

"Fokus kita sekarang adalah untuk memulihkan semula kawasan yang terjejas akibat penerokaan haram," katanya lagi.