X

Kindly register in order to view this article
!

Rayuan kes rasuah Ku Nan didengar 22 April depan

Laporan Sinar Harian pada 21 Disember lalu mengenai Tengku Adnan yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta.
A
A

KUALA LUMPUR - Rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan didengar pada 22 April depan.

Peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan ketika dihubungi pemberita berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Darmafikri Abu Adam menetapkan 22 dan 23 April untuk pendengaran rayuan itu, ketika pengurusan kes menerusi aplikasi Zoom hari ini, yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid.

Sementara itu, Rullizah berkata, mahkamah turut menetapkan 5 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 21 Disember lalu, Tengku Adnan, 70, memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ku Nan bersalah terima rasuah RM2 juta


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!