Empat helikopter AW189 pertingkat operasi udara Maritim Malaysia

Majlis pemeteraian MoU Kementerian Dalam Negeribersama Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd, di sini, pada Rabu.
Majlis pemeteraian MoU Kementerian Dalam Negeribersama Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd, di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapat perolehan empat buah helikopter jenis Augusta Westland AW189 medium lift.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, perolehan helikopter itu adalah untuk memenuhi keperluan agensi.

"Ia bagi mempertingkatkan pemantauan udara dengan lebih meluas serta melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) untuk jarak dan durasi yang panjang.

"Setakat enam buah pesawat milik Maritim Malaysia beroperasi yang terdiri dua buah helikopter jenis AW139, tiga buah helikopter jenis AS365 N3 Dauphin dan sebuah pesawat udara Bombardier CL-415 MP," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kementerian Dalam Negeri bersama Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd, di sini, pada Rabu.

Saiful berkata, helikopter yang keseluruhan bernilai hampir RM530 juta itu dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters turut dipilih kerana pesawat itu mempunyai keupayaan transmisi utama untuk beroperasi tanpa minyak selama 50 minit dan unit kuasa tambahan yang tersedia.

"Helikopter AW189 telah menjadi helikopter kategori super-medium yang paling berjaya di dunia dari segi saiz pasaran, bilangan pengendali selain mampu melaksanakan pelbagai tugas termasuk Carilamat, bantuan bencana, pemadaman kebakaran, penguatkuasaan undang-undang dan sokongan tenaga," katanya.

Terdahulu, Saiful memaklumkan Maritim Malaysia menjangkakan pesawat berkenaan bakal siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak Agensi ini sekitar 2025 / 2026 dan akan ditempatkan di Sandakan, Sabah.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!