Inspektor polis didakwa halang tugas pegawai atasan, keluar kata kesat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan menghalang tugas dan mengeluarkan kata kesat kepada pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner Polis (ASP), tiga hari lepas.

K. Gopi, 34, didakwa menghalang tugas ASP Khairil Azuad Abd Azis dengan enggan memberikan keterangan membabitkan satu laporan polis yang diarahkan pegawai kanan polis itu di Pejabat Bahagian D6, Tingkat 3, Menara 2 Bukit Aman, Dang Wangi di sini pada jam 12.10 tengah hari, 5 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengeluarkan perkataan kesat dan kurang sopan terhadap pegawai polis sama pada tempat, masa dan tarikh serupa, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh namun peguam K. Shunmugam mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit leher yang memerlukan rawatan perubatan selain mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret S Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: