Pendidikan Malaysia di persimpangan

DR MASZLEE MALIK
DR MASZLEE MALIK
A
A
A

MUTAKHIR ini isu pendidikan mula mendapat perhatian massa terutamanya apabila sesi persekolahan 2021 bermula dengan pendekatan PdPR. Pelbagai pihak telah muncul membicarakan isu berbeza mengenai pendidikan menurut kepedulian dan kebitaraan masing-masing.

Bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang mendesak yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan dengan segera berhubung isu pendidikan.

Yang terkini ialah suara calon SPM yang diwakili oleh puluhan ribu calon SPM melalui Gerakan #SuaraPelajar adalah sesuatu yang serius. Isu tekanan mental dan juga persiapan yang tidak cukup oleh puluhan ribu calon untuk menduduki peperiksaan pada Februari ini adalah sesuatu yang serius.

Cadangan saya agar pihak menteri dan KPM mengadakan sesi pertemuan dengan wakil mereka dan juga membuat sesi penerangan di media terbuka.

Kini isu PdPR menjadi topik perbincangan utama. Isu kesenjangan pendidikan dan kesenjangan digital mula dibicarakan. Jurang di antara mereka yang mempunyai akses kepada PdPR dengan mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk mengikuti PDPR semakin melebar. Pelbagai cadangan dikemukakan. Jika tidak ditangani, jurang ini akan semakin melebar dan akan menyebabkan perbezaan kelas ekonomi yang ketara pada masa hadapan.

Bagi sekolah-sekolah yang terletak di pedalaman atau sekolah kurang murid yang tiada kes Covid-19 ataupun yang sukar diakses oleh orang ramai, pihak KPM harus memberikan autonomi kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membenarkan mereka beroperasi dengan SOP yang ketat. Adalah tidak wajar mereka dibiarkan tidak belajar di kala mereka tiada capaian internet untuk PdPR dan tidak dapat pergi ke sekolah.

Isu capaian internet di kawasan luar bandar juga perlu ditangani segera. Pihak syarikat telekomunikasi perlu bersama dengan pihak kerajaan melalui pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk memastikan capaian internet dapat diperluaskan.

Cadangan untuk memperuntukkan rancangan pendidikan di saluran utama televisyen dan radio, serta cadangan untuk mewujudkan saluran TV Pendidikan percuma perlu disegerakan.

Artikel Berkaitan:

Kita perlu akur bahawa bukan semua guru terlatih untuk melakukan PdPR dan bukan semua murid mempunyai kemampuan untuk mengikutinya. Memaksa guru dan murid mengikuti jadual persekolahan yang konvensional sewaktu PdPR adalah satu tindakan yang akan menyebabkan matlamat asal pendidikan tidak akan dapat dicapai.Sukar

Guru mestilah diberikan keanjalan untuk menentukan jadual waktu mereka. Hakikatnya hatta dalam kalangan anak-anak murid pun tidak semua mempunyai peranti sendiri dan ramai yang terpaksa berkongsi dengan adik-beradik, malah ibu bapa, maka jadual yang serentak PdPR akan menyukarkan anak-anak mengikuti kelas mereka.

Menggunakan pedagogi, kurikulum dan pendekatan konvensional yang dibina untuk norma lama pendidikan secara bersemuka dan dalam sekolah, untuk digunakan sewaktu PdPR bukanlah sesuatu yang berkesan.

Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan radikal ad-hoc di kala pandemik untuk melakukan anjakan paradigma untuk pedagogi, kurikulum dan pendekatan yang baharu.

Pendidikan tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka belajar untuk menghabiskan silibus dalam buku teks semata-mata. Pendidikan di kala pandemik harus diselarikan semula dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, di mana intipatinya untuk melahirkan warga yang manusiawi dan seimbang perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Maka penerapan isu-isu sivik, nilai, kemahiran, berfikir dan memperkenalkan konsep pembelajaran kendiri perlu diterapkan.

Pendidikan di waktu pandemik juga memaksa ibu bapa berganjak daripada paradigma lama yang menyerahkan isu pendidikan semata-mata kepada pihak sekolah. Kini, dengan sepenuh waktu anak berada di rumah, rumah adalah sekolah pertama anak-anak. Ibu bapa harus memainkan peranan sebagai pendidik juga.

Maka, sekali lagi saya mencadangkan agar ditubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pemegang taruh pendidikan untuk menangani pelbagai isu pendidikan dan juga untuk melakarkan ‘master plan’ pendidikan pasca-pandemik demi masa depan negara.

* Dr Maszlee Malik ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas Menteri Pendidikan