ART tidak jejas penghantaran barang ke Singapura

Keadaan sesak terutama di laluan kenderaan berat di Tambak Johor, Johor Bahru pada Sabtu berikutan perlaksanaan ART yang diwajibkan kerajaan Singapura terhadap semua pemandu dan kelindan lori dari Malaysia.
Keadaan sesak terutama di laluan kenderaan berat di Tambak Johor, Johor Bahru pada Sabtu berikutan perlaksanaan ART yang diwajibkan kerajaan Singapura terhadap semua pemandu dan kelindan lori dari Malaysia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Langkah mewajibkan semua pemandu dan kelindan lori dari Malaysia menjalani Ujian Rapid Antigen (ART) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands, Singapura bermula Jumaat tidak menjejaskan proses penghantaran bekalan barangan ke republik itu.

Presiden Persatuan Operasi Lori Johor, Novan Hing berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar dan pihaknya tidak menerima sebarang rungutan atau maklum balas negatif daripada pemandu atau kelindan lori.

"Perkara ini sudah dipersetujui kedua-dua pihak (Malaysia dan Singapura). Lagi pun semua kos untuk melakukan ART atau swab test itu ditanggung sepenuhnya oleh mereka (kerajaan Singapura), jadi tidak ada masalah.

"Saya juga lega apabila sehingga kini tiada kes positif melibatkan pemandu dan kelindan lori. Pada hari pertama pelaksanaan lebih 500 menjalani ujian saringan Coivd-19 di kedua-dua pusat pemeriksaan darat Singapura itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kerajaan Singapura mewajibkan ART bermula Jumaat di kedua-dua pintu masuk darat itu bertujuan mengurangkan risiko kes import Covid-19.

Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) dalam satu kenyataan memberitahu, langkah terbaharu di sempadan itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan awam untuk rakyatnya termasuk pemandu serta kelindan lori.

Menerusi ART, pemandu dan kelindan lori akan mendapat keputusan ujian saringan mereka dengan pantas dalam masa 30 minit sahaja.

Novan berkata, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini dan pemutus litar (circuit breaker) di Singapura, hanya kira-kira 3,000 dan 4,000 lori masuk ke republik itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini berbeza dengan hari biasa sebelum PKP yang jumlahnya meningkat satu atau dua kali ganda.

"Diharap pemandu dan kelindan lori memberi sepenuh kerjasama dengan pihak yang melakukan ART dan jika tidak sihat atau mempunyai simptom meragukan supaya segera bercuti," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya berharap dapat berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia berikutan peraturan baharu republik itu sekiranya timbul masalah di republik tersebut.

"Contohnya, sekiranya lori tidak dibenarkan masuk dan perlu ditukar dengan lori lain, begitu juga jika membabitkan pertukaran pemandu lori, diharap masalah seperti itu dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.