Terengganu teliti individu yang terjejas akibat PKP 2.0

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan meneliti dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti individu yang benar-benar terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sehubungan itu berkata, bantuan yang akan disalurkan nanti tidak melibatkan semua ketua isi rumah (KIR).

"Saya tidak boleh memberi sebarang jaminan lagi buat masa ini, namun kerajaan negeri akan terus memantau dan meneliti dari semasa ke semasa mereka yang benar-benar terkesan akibat Covid-19.

"Bantuan yang akan disalurkan juga tidak menyasarkan semua orang tetapi mereka yang benar-benar terkesan akan dinilai dan diberi bantuan apa-apa yang sesuai. Kerajaan negeri akan mencari jalan untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Amal Mega Blood Donation di sini pada Sabtu.

Ahmad Samsuri berkata, mereka yang terjejas diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi wakil rakyat di kawasan masing-masing bagi membolehkan setiap permohonan diteliti.

"Saya percaya semua wakil rakyat daripada semua parti politik di Terengganu sentiasa terbuka menerima apa jua maklum balas daripada rakyat dan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah mereka.

"Jika tidak boleh bertemu wakil rakyat, mereka boleh berjumpa dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT). Insya-ALLAH kita akan selesaikan masalah ini secara beransur-ansur," katanya.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri Terengganu menyediakan insentif sebanyak RM6 juta yang disalurkan kepada golongan terjejas akibat penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri termasuk Terengganu selama 14 hari bermula 22 Januari hingga 4 Februari depan berikutan peningkatan semula kes positif Covid-19 di negara ini.