X

Kindly register in order to view this article
!

Guna peruntukan RMT, BMA beri peranti elektronik kepada pelajar layak

Mohd Alif Anas
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada Sabtu mencadangkan agar beberapa peruntukan awal kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak digunakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusun semula bagi memberi peranti elektronik kepada pelajar yang layak.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, contoh yang jelas adalah peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Makanan Asrama (BMA).

“Setelah meneliti anggaran perbelanjaan yang diperuntukkan pada tahun 2020 dan 2021, GPMS mendapati dua program khusus RMT dan BMA di bawah Maksud Bekalan 63 - Kementerian Pendidikan ini mempunyai ruang penjajaran semula yang besar.

“Sebagai contoh, jumlah peruntukan RMT dan BMA tahun 2020 adalah RM1,721,304,900. Andaian sekolah hanya beroperasi selama tujuh bulan rentetan PKP bermakna sebanyak RM1,004,094,525 telah dibelanjakan dan masih berbaki RM717,210,375.

“Peruntukan bagi tahun 2021 bagi dua-dua program juga mencecah RM1,813,606,400 iaitu kenaikan sebanyak RM92,301,500 atau lima peratus. Sekiranya dana ini digunapakai bagi tujuan perolehan peranti elektronik, nescaya hampir semua pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bakal menerima manfaat,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan terdapat ibu bapa yang mengeluh sejak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula Rabu.

Presidennya, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, antara keluhan daripada ibu bapa adalah tidak dapat menyediakan peralatan yang mencukupi untuk anak-anak mereka apabila PdPR diperkenalkan.

Mengulas lanjut, Mohd Alif berkata, walaupun kerajaan telah membuat penjajaran semula peruntukan bagi menampung pelan bantuan kepada rakyat seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), pihaknya menyeru agar keutamaan diberikan dalam penyusunan semula peruntukan KPM.

“Ke arah pemberian peranti yang boleh digunakan bagi tujuan PdPR. Perkara ini dibangkitkan atas tanggungjawab 4 SEDAR GPMS dan kegusaran terhadap situasi yang memungkinkan wujud pelajar yang tercicir.

“Kepayahan hidup khususnya anak-anak Melayu akan menimbulkan kesenjangan pendidikan di kalangan golongan berada dan yang kurang berada,” katanya.

Katanya, pihaknya menuntut perkara ini diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

“Sekiranya ada peruntukan KPM yang boleh disusun semula bersama Kementerian Kewangan, GPMS memohon agar ianya digunakan bagi penyediaan peranti elektronik kepada pelajar yang layak,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!