Kerajaan perlu serius bantu industri perhotelan teruk terjejas

Rusli Affandi
Rusli Affandi
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia menggesa kerajaan lebih serius menangani isu pelancongan dan perhotelan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Setiausaha Agungnya, Rusli Affandi berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini, sektor perhotelan baru sahaja bangkit daripada terjejas selepas pelaksanaan PKP.

“Kita boleh lihat kehadiran pelancong tempatan yang mula menggunakan kesempatan dengan tawaran-tawaran diberikan seperti potongan harga ketika kerajaan membuka ruang kepada industri pelancongan pada PKPP.

“Namun bukan semua tempat mendapat kehadiran pelancong yang tinggi kerana hanya destinasi terpilih seperti Pulau Pinang, Langkawi, Cameron Highlands dan Melaka yang menjadi tumpuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Rusli berkata, apabila kerajaan meluluskan Belanjawan 2021 sebelum ini, sektor perhotelan dilihat terpinggir kerana kerajaan hanya memberi perhatian terhadap sektor penerbangan.

“Ramai pekerja hotel hilang jawatan ketika pelaksanaan PKP. Sepatunya nasib kami turut diberi perhatian.

“Sehingga kini tiada bantuan atau apa-apa cadangan untuk mereka yang telah diberhentikan kerja dan kami berharap kerajaan lebih prihatin,” katanya.

Beliau menambah, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mewakili hotel-hotel di Malaysia perlu lebih tegas dengan membuat rayuan kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan pelaksanaan PKP 2.0 kali ini juga akan menyebabkan sektor perhotelan kembali merudum dan kami risau dengan pembuangan pekerja yang mungkin akan berlaku,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 90 hotel ditutup akibat Covid-19

Pengusaha hotel rayu benarkan penganjuran majlis ikut SOP