X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 90 hotel ditutup akibat Covid-19

Ramada Plaza yang beroperasi hampir 40 tahun di Melaka ditutup sepenuhnya berikutan pandemik Covid-19. - Gambar kecil: Lip Seng
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Bagaikan mustahil untuk diselamatkan lagi, lebih 90 buah hotel di negara ini terpaksa gulung tikar akibat pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penularan pandemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu.

Bahkan menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, keadaan akan bertambah tenat tahun ini selepas kerajaan kembali melaksanakan PKP bermula 13 Januari lalu.

“Sejak pandemik ini bermula awal tahun lepas dan pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2021, dianggarkan lebih kurang 90 hotel telah tutup.

“Ada yang tutup sepenuhnya dan ada yang tutup sementara sehingga situasi industri pelancongan bertambah baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Walaupun impak pandemik ini tidak dapat dielakkan, Lip Seng menegaskan, MAH memainkan peranan yang penting sebagai penasihat kepada kerajaan dalam menentukan pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani impak pandemik.

Dalam tempoh ini katanya, MAH telah banyak membekalkan maklumat terkini industri kepada kerajaan dan memperjuangkan keperluan industri termasuk inisiatif-inisiatif dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

“Oleh sebab keadaan yang semakin tenat, MAH berharap kerajaan akan menyalurkan lebih bantuan terus kepada industri yang kini hampir lumpuh dengan pelaksanaan PKP kedua,” katanya.

Beliau berkata, MAH telah lama meminta kerajaan menaikkan kadar subsidi upah pada kadar 50 peratus untuk pekerja yang bergaji sehingga RM4,000 dan 30 peratus untuk yang bergaji sehingga RM8,000.

“Cara itu adalah satu-satunya kaedah untuk melindungi industri dan pekerja,” katanya.

Tambahnya, diskaun elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui inisiatif Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) adalah lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu 15 peratus.

“Malah, jumlah itu jauh lebih rendah daripada cadangan MAH iaitu 50 peratus.

“Diskaun ini tidak memberi impak ketara apabila industri kehilangan semua punca pendapatan walaupun dibenarkan beroperasi,” tegasnya.

INFO

Antara hotel yang ditutup kerana Covid-19

Melaka:

Ramada Plaza

Shah Beach Resort

Emperor Hotel

Mahkota Hotel

Johor: Putri Pacific

Kuala Lumpur: The Federal Hotel

Selangor: Shah Village Hotel

Pulau Pinang:

Holiday Inn Penang

Copthorne Penang


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!