X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lagi hospital untuk rawatan Covid-19 di Kedah

Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Hospital Kuala Nerang dan Hospital Kulim dijadikan sebagai hospital rawatan Covid-19 di Kedah. - Foto fail Bernama
A
A

ALOR SETAR - Tiga lagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri ini dijadikan sebagai hospital rawatan Covid-19 bagi menampung peningkatan pesakit yang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata hospital berkenaan ialah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Hospital Kuala Nerang dan Hospital Kulim.

“Sebelum ini HSB satu-satunya hospital untuk rawatan Covid-19 di negeri ini. Berdasarkan maklumat semasa yang diterima daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, sebanyak 72 peratus kapasiti wad pesakit Covid-19 di hospital itu telah diisi, sementara wad unit rawatan rapi sebanyak 89 peratus telah diisi.

“Ketika ini di (Hospital) Kulim, kapasiti katil untuk menempatkan pesakit ada 300 dan baru 33 diisi, (bermakna) boleh isi lagi kalau ada pesakit dan di (Hospital) Kuala Nerang (ada) 72 kapasiti dan ada 50 lebih kekosongan, manakala di HSAH (ada) 200 kapasiti, baru 63 (diisi),” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Hayati berkata setakat ini, seramai 110 pesakit yang positif Covid-19 di Kedah dibenarkan menjalani kuarantin di rumah selepas menerima rawatan di hospital.

“Kesemua mereka akan dihubungi JKN Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat setiap hari bagi memastikan pematuhan pada arahan kuarantin berada pada tahap yang tinggi,” katanya, menambah kesemua pesakit itu dipakaikan gelang merah jambu dan tidak dibenarkan keluar rumah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!