Pegawai perhubungan sekolah pantau pematuhan SOP

Noorzainy membuat pemantauan SOP pada hari pertama pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Butterworth pada Rabu.
Noorzainy membuat pemantauan SOP pada hari pertama pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Butterworth pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 66 pegawai perhubungan sekolah akan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua sekolah menengah dalam daerah Seberang Perai Utara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua pegawai terbabit akan melakukan pemantauan harian sekurang-kurangnya dua kali sehari termasuk membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan semua garis panduan dilaksanakan.

Menurutnya, bagi daerah SPU sebanyak 32 sekolah bantuan kerajaan dan sebuah sekolah persendirian mula dibuka pada Rabu melibatkan kehadiran 9,892 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SPVM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

"Pegawai perhubungan sekolah akan membuat tinjauan setiap hari bagi memastikan pelajar, guru serta kakitangan sekolah mengamalkan semua SOP ditetapkan daripada mula memasuki kawasan sekolah sehingga tamat sesi pembelajaran.

"Dalam tempoh ini, hanya sesi pembelajaran di dalam kelas sahaja dibenarkan dan tiada aktiviti sukan serta kokurikulum dilaksanakan," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Butterworh di sini pada Rabu.

Noorzainy berkata, bagi memastikan kelancaran pelajar untuk hadir ke sekolah terutamanya yang tinggal di luar daerah dan negeri mereka tidak perlu mendapatkan surat daripada polis sebaliknya boleh mengemukakan surat khas yang dikeluarkan oleh pihak sekolah.

Sementara itu, mengulas mengenai pemantauan yang dilakukan pada Rabu, Noorzainy berkata, pihaknya berpuas hati dengan persediaan dibuat pihak sekolah dalam memastikan segala keperluan dan pematuhan SOP dilakukan.

Katanya, walaupun jumlah kehadiran pelajar agak ramai, namun pihak sekolah tetap melakukan penjarakkan fizikal dua meter di dalam kelas, menyediakan kaunter pemeriksaan suhu serta cecair pembasmi kuman di dalam kawasan sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan pastikan pihak sekolah membuat penandaan jarak selain laluan keluar masuk seperti digariskan dalam SOP.

"Langkah ini bukan sahaja untuk memastikan keselamatan pelajar, guru dan warga sekolah, malah melandaikan lengkuk penularan Covid-19," katanya.