Tanamkan persepsi rasuah perbuatan yang menjijikkan, kata PPIM

Gambar kecil: NADZIM
Gambar kecil: NADZIM
A
A
A

SHAH ALAM - Semua penjawat awam dan pegawai penguat kuasa undang-undang perlu menanamkan persepsi bahawa mengambil rasuah adalah perbuatan yang sangat menjijikkan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga kini, soal keberkesanan menangani isu rasuah di negara ini masih di tahap rendah dan memerlukan peningkatan usaha sebanyak 50 peratus untuk memeranginya.

“Bagaimanapun, terdapat sebilangan penjawat awam dan anggota penguat kuasa beragama Islam yang tanpa segan silu mengamalkan budaya rasuah, walaupun menyedari hukumnya berdosa besar.

“Rakyat sekarang menjadi marah apabila isu rasuah semakin berleluasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Akhbar ini pada Selasa melaporkan segelintir pegawai kerajaan didakwa menggunakan khidmat orang ketiga atau broker untuk menjalankan aktiviti mengambil rasuah daripada golongan kontraktor dan peniaga kecil di negara ini.

Nadzim turut menyentuh amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga menyusahkan golongan peniaga kecil dan penjaja untuk memohon lesen perniagaan sah.

Menurutnya, PBT sepatutnya memudahkan proses permohonan lesen perniagaan supaya golongan peniaga kecil mudah dipantau dan mereka mendapat kemudahan pinjaman kewangan daripada kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

“Kalau semua agensi kerajaan dapat mengenepikan kerenah birokrasi keterlaluan terhadap golongan peniaga, barulah amalan rasuah akan dapat dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

“Ini tidak. Bentuk rasuah pun ada pelbagai. Ada rasuah wang, rasuah perkhidmatan, rasuah kemudahan, minta ‘derma’ daripada peniaga untuk disalurkan kepada dana kelab PBT.

“Bukan peniaga tidak boleh bantu, tetapi jangan jadikan permintaan atau tuntutan itu cenderung kepada rasuah,” katanya.