Dua calon SPM antara ditahan terlibat sindiket ‘Like and Share’

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LUMUT - Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara 20 yang ditahan kerana terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan ‘Like and Share’ yang menyasarkan mangsa di India.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dua pelajar perempuan itu ditahan bersama sembilan lagi rakyat tempatan serta sembilan warga China dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ayer Tawar, dekat sini kira-kira 9 malam pada Jumaat lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua warga China yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita itu berperanan sebagai penyelia utama sindiket, manakala 11 rakyat tempatan direkrut untuk menghantar pesanan kepada mangsa di India menerusi Facebook.

Menurut Nor Omar, siasatan mendapati semua rekrut rakyat tempatan sindiket itu perlu bekerja setiap hari dari 11.30 pagi hingga 11.30 malam dan menerima gaji antara RM2,000 dan RM7,000 sebulan.

“Modus operasi sindiket ialah menjanjikan bayaran sebanyak 22 rupee (RM1.22) untuk setiap satu 'Like and Share' sebelum mangsa kemudian diminta membayar sejumlah wang bagi mendapatkan lebih keuntungan, namun sebaliknya mengalami kerugian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada Isnin.

Nor Omar berkata, siasatan mendapati sindiket penipuan itu bergiat aktif sejak dua bulan lalu dan menjadikan rumah yang diserbu sebagai pusat operasi mereka.

Katanya dalam serbuan itu, polis turut merampas lapan komputer dan 57 telefon bimbit dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, semua suspek berumur 18 hingga 45 tahun tersebut direman enam hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan polis masih membuat siasatan dokumen perjalanan ke atas semua warga China terbabit,” katanya. - Bernama