Pewaris syarikat Samsung dijel kerana rasuah

Lee Jae-yong - Foto AFP
Lee Jae-yong - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - Ketua de facto syarikat Samsung Electronics, Lee Jae-yong dipenjarakan dua tahun dan enam bulan oleh sebuah mahkamah pada Isnin berhubung kes rasuah, lapor agensi berita Yonhap.

Jae-yong, 52, yang merupakan Naib Pengerusi dan pewaris syarikat yang mengeluarkan telefon pintar paling banyak di dunia itu didapati bersalah melakukan rasuah dan penyelewangan kemudian dibawa ke penjara selepas keputusan itu dibuat, lapor agensi berita tersebut.

Bagaimanapun, dia menjadi ketua Samsung Electronics secara tidak rasmi selepas bapanya terlantar di atas katil akibat diserang sakit jantung selama beberapa tahun.

Bapanya meninggal dunia pada Oktober tahun lalu.

Sehingga kini, Samsung merupakan syarikat dikuasai oleh sebuah keluarga yang terbesar di Korea Selatan.

Korea Selatan menduduki tangga ke-12 ekonomi terbesar dunia.

Jae-yong dipenjarakan selama lima tahun pada tahun 2017 kerana rasuah, penyelewengan dan lain-lain kesalahan berhubung skandal yang menyebabkan Presiden wanita pertama negara berkenaan iaitu Park Geun-hye meletakkan jawatan.

Sebuah mahkamah rayuan menggugurkan kebanyakan sabitan rasuahnya dan memberikannya hukuman penjara yang ditangguhkan pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mahkamah Agung kemudian mengarahkan Jae-yong dibicarakan semula berhubung kes rasuah dan penyelewengan.

Kes tersebut adalah berkaitan dengan jutaan dolar yang dibayar syarikat tersebut kepada seorang rakan karib Geun-hye iaitu Choi Soon-sil.

Soon-sil dituduh memastikan peralihan kuasa lancar berlaku untuk Jae-yong menggantikan bapanya yang ketika itu sedang sakit.

Skandal itu mendedahkan hubungan politik antara politik dengan perniagaan besar di Korea Selatan.

Sebelum ini bekas Presiden tersebut dan rakannya dituduh mengambil rasuah dari syarikat-syarikat besar sebagai pertukaran untuk mendapatkan layanan istimewa.

Baru-baru ini, Mahkamah Agung Korea Selatan mengekalkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Geun-hye berhubung kes rasuahnya selepas dia dituduh menerima berjuta-juta dolar daripada syarikat besar sebagai pertukaran untuk mendapatkan layanan istimewa. - Agensi